BUKIT JALIL: Selepas berdepan tekanan dan meletakkan standard tinggi terhadap diri sendiri setiap kali beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), Aina Abdul akhirnya mampu menarik nafas lega apabila persembahan dramatik menerusi Kamu dinobatkan sebagai Persembahan Terbaik pada AJL Ke-40, baru-baru ini.
Memetik laporan Berita Harian, penyanyi berusia 32 tahun itu mengakui pengiktirafan berkenaan cukup bermakna selepas segala usaha, masa dan tenaga yang dicurahkan bersama pasukan membuahkan hasil.
Lebih daripada sekadar trofi, kemenangan itu memberi ruang buat Aina menikmati pentas AJL tanpa dibelenggu tekanan seperti yang dilaluinya pada edisi terdahulu.
“Alhamdulillah, saya terharu dan rasa sangat bersyukur. Orang kata berbaloi dengan kerja keras yang saya dan pasukan lakukan.
“Mungkin orang kata klise, kalau tidak ada peminat saya, saya tidak akan berada di sini. Saya tidak akan dapat bermimpi untuk memegang semua penghargaan ini.
“Saya rasa sudah lama saya tidak berasa setenang ini selepas AJL. Selalunya selepas AJL, saya meletakkan terlalu banyak harapan kepada diri sendiri dan apabila tidak mendapat apa yang diharapkan, saya jadi murung,” katanya pada sidang media selepas pengumuman pemenang AJL 40 di Unifi Arena, di sini, Sabtu lalu.
Aina berkata, setiap tahun dia menetapkan standard tersendiri terhadap persembahan yang mahu dipersembahkan, namun kali ini dia memilih untuk menikmati detik beraksi tanpa terlalu memikirkan keputusan.
“Setiap tahun mestilah kita ada perkara yang kita tetapkan sebagai satu standard untuk diri sendiri. Tetapi di sebalik semua itu, saya rasa tenang dan saya gembira dapat menikmati persembahan malam ini (Sabtu),” katanya.
Menerusi Kamu, karya ciptaan sepenuhnya oleh Aina, penyanyi itu menghidangkan persembahan penuh dramatik dengan gunung berapi sebagai latar utama.
Pencahayaan merah dan jingga yang bersilih ganti mencetuskan suasana bahang, manakala busana berkonsepkan lava dengan serpihan kayu seolah-olah menusuk tubuh menguatkan elemen dramatik persembahan.
Aina berkata, pemilihan gunung berapi bukan dibuat secara kebetulan, sebaliknya menjadi simbol kepada emosi kemarahan dan pengkhianatan yang terkandung dalam lagu itu.
“Kamu adalah lagu mengenai kemarahan dan pengkhianatan. Jadi, selain daripada api, saya fikir apa lagi yang lebih mendalam daripada itu.
“Saya tahu ramai yang akan menganggap Kamu ini berkaitan api kerana dalam muzik video saya pun saya bermain dengan api dan ada unsur api. Jadi, saya kira satu lagi tahap bencana yang lebih menakutkan adalah gunung berapi,” katanya.
Menurut Aina, idea itu pada awalnya dirancang dalam skala lebih kecil sebelum berkembang menjadi antara persembahan terbesar pernah dipersembahkannya di pentas AJL. – BH Online –
IMedikel TV






