Home Sukan BUDAK SEKARANG MELIHAT MATERIALISTIK LEBIH UTAMA DARIPADA HOKI – SAIFUL ZAINI

BUDAK SEKARANG MELIHAT MATERIALISTIK LEBIH UTAMA DARIPADA HOKI – SAIFUL ZAINI

185
0

KUALA LUMPUR: “Budak-budak sekarang bukan macam dulu, mereka melihat materialistik lebih utama daripada hoki.”

Memetik laporan Harian Metro, demikian pendapat ketua jurulatih baharu skuad hoki remaja lelaki negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang mempunyai misi mahu melihat ramai pemain muda meminati dan meneruskan karier lebih lama dalam sukan hoki sekali gus berpeluang menyarung jersi skuad utama kebangsaan.

Jelas Olimpian negara sebanyak tiga kali itu, beliau mahu memastikan peluang tiga tahun yang diberikan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk menggalas tugas itu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengembalikan semula kegemilangan skuad negara seperti ketika zaman kemuncaknya selaku pemain di era 90-an.

“Ini bukan pertama kali saya menggalas tugas ini. Saya sudah melakukan tugas pembangunan pemain sejak sekian lama dan saya sudah nampak perkara-perkara yang mengganggu pemain remaja.

“Mungkin pada satu ketika mereka sangat bagus, tetapi pada akhirnya mereka memilih benda lain yang lebih mudah serta lebih menyeronokkan selain daripada hoki.

“Kita rasa satu kerugian besar kerana ramai antara mereka ini bermula di tingkatan satu di sekolah sukan tapi bila berusia 18 tahun, mereka tinggalkan sukan hoki.

“Jadi dalam tempoh tiga tahun ini, saya akan cuba melihat perkara ini dan cuba mendapatkan kelompok pemain yang ramai serta mampu bermain dengan baik di mana-mana saja peringkat usia selain dapat beraksi bersama skuad kebangsaan,” katanya.

Jelas Nor Saiful, beliau juga mahu mendapatkan kerjasama beberapa jurulatih serta bekas pemain negara untuk sama-sama membantu memberikan maklumat bagaimana mahu mengembalikan era kegemilangan skuad hoki negara.

Tugasan pertama Nor Saiful adalah pada Piala Dunia Remaja yang akan bermula 28 November sehingga 10 Disember depan di Chennai, India.

Semalam, KHM menerusi presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal mengumumkan Nor Saiful kembali menggalas tugas selaku ketua jurulatih skuad remaja lelaki bagi menggantikan I Vikneswaran dengan kontrak selama tiga tahun.

Vikneswaran yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, keputusannya untuk berundur adalah kerana mahu memberikan tumpuan kepada tugasnya selaku Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) selepas mempertahankan jawatan itu untuk penggal 2025 sehingga 2027.

Untuk rekod, Nor Saiful pernah menggalas tugas selaku ketua jurulatih skuad remaja lelaki pada 2016 sehingga 2020. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here