LOS ANGELES: Selepas sembilan bulan bertunang sejak Disember 2024, penyanyi juga pelakon Hollywood, Selena Gomez, 33, kini sah bergelar isteri kepada penerbit muzik, Benny Blanco, 37.
Memetik laporan Agensi, menerusi Harian Metro, pasangan ini dilaporkan berkahwin semalam dalam satu majlis penuh meriah tetapi sederhana yang berlangsung di Santa Barbara, California, Amerika Syarikat (AS).
Selena juga didapati mengesahkan pernikahan itu menerusi hantaran dibuatnya di Instagram (IG) yang memaparkan foto serta video bersama suaminya itu.
“9.27.25,” tulis Selena ringkas pada kapsyen hantaran di akaun IG miliknya sekali gus menandakan tarikh mereka sudah bersatu sebagai pasangan suami isteri.
Manakala, Blanco juga didapati ada meninggalkan komen ringkas pada hantaran Selena itu.
“Isteri saya di dunia nyata,” tulisnya.
Pasangan sejoli ini kelihatan segak dan cantik dengan persalinan hitam dan putih yang mana Blanco menggayakan tuksedo hitam, manakala Selena dengan gaun berwarna putih.
Pasangan terkenal ini juga sudah menjalin hubungan cinta selama dua tahun sebelum mengumumkan pertunangan mereka pada Disember tahun lalu.
Pada Mac lalu, Blanco dalam satu temubual juga mendedahkan dia dan Selena sibuk membuat persiapan perkahwinan mereka walaupun tidak memaklumkan tarikh yang sudah dipilih untuk bernikah.-Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






