Home Hiburan BEKAS MADU MIERA LEYANA FAIL TUNTUTAN NAFKAH ANAK, NAFKAH IDDAH DAN MUTA’AH

BEKAS MADU MIERA LEYANA FAIL TUNTUTAN NAFKAH ANAK, NAFKAH IDDAH DAN MUTA’AH

467
0

PUTRAJAYA: Putrajaya: Bekas madu pelakon Miera Leyana iaitu Adibah Abdul Mutalib, 52, menyifatkan tuntutan nafkah anak, nafkah iddah dan muta’ah yang difailkan terhadap bekas suami, Rosland Othman, 52, adalah inisiatif yang wajar diambil pihaknya.

Memetik laporan Harian Metro, Adibah berkata, perceraiannya dengan Rosland yang sudah berlaku lebih setahun sejak 3 Ogos 2023, tidak mendapat nafkah iddah daripada lelaki itu dan sebagai bekas isteri, dia berasakan perlu bertindak untuk menuntut hak yang patut.

“Saya ambil inisiatif ini (failkan tuntutan nafkah anak, nafkah iddah dan muta’ah) sebab macam iddah itu sudah setahun lebih sejak dia (Rosland) jatuhkan talak pada 2023. Jadi, dia pun buat senyap sahaja, maknanya tak ada apa-apa nafkah untuk saya.

“Maka, kita memang kena ambil inisiatiflah untuk dapatkannya. Sebab selepas cerai, untuk nafkah iddah memang tiada jumlah ‘official’. Begitu juga dengan nafkah anak daripada bekas suami tiada jumlah ‘official’ yang ditetapkan juga.

“Tapi, kita kena mintalah nafkah anak itu dan dia akan bayar mengikut jumlah diminta. Jadi, apa yang saya buat ini untuk kita ‘make it clear’ dan kita nak terperinci (jumlah nafkah anak) supaya betul-betul cukup untuk saya dan anak-anak teruskan kehidupan,” katanya kepada Harian Metro.

Sebelum itu, Adibah yang ditemani anak keduanya hadir di Mahkamah Rendah Syariah Putrajaya hari ini bagi perbicaraan sebutan pertama kes tuntutan nafkah anak, nafkah iddah dan muta’ah yang difailkannya pada 25 Jun lalu.

Ditanya juga kesanggupannya turun naik mahkamah sebagaimana kes mendapatkan hak penjagaan kekal anak sebelum ini, Adibah berkata, dia akan terus berjuang untuk hak dirinya dan anak-anak.

“Kes ini (tuntutan nafkah) baru bermula. Alhamdulillah, ‘we were keep fighting’ dan kali ini juga tuntutan difailkan di Mahkamah Syariah Putrajaya yang lebih dekat dengan kediaman saya.

“Cuma, penerimaan pihak sana (bekas suami) pada mulanya agak susah juga macam bila penghantar notis (tuntutan) nak hantar notis kepadanya, dia tidak terima dan tiada di rumah. Tapi, akhirnya dia dapat notis pada 30 Jun lalu.

“Dia (Rosland) juga sudah buat wakalah (perwakilan) dengan peguamnya dan dia terima,” katanya yang merahsiakan jumlah tuntutan diminta sebagai plaintif kepada pihak defendan berhubung kes difailkan itu.

Menurut Adibah lagi, dia menuntut jumlah yang setimpal untuknya dan anak-anak mengikut pengorbanan dan tempoh perkahwinan dibina itu sebelum bercerai.

“Saya rahsiakan jumlah tuntutan itu kerana terlalu ‘confidential’ (sulit) untuk dikongsi bagi menghormati kedua-dua belah pihak. Tapi, ia setimpal dengan pengorbanan dan tempoh usia perkahwinan itu.

“Apapun, saya mengharapkan perjalanan kes ini di mahkamah berjalan lancar dan hakim faham dengan jumlah tuntutan dibuat. Kita bukan saja-saja letak amaun itu, tetapi ia setimpal,” katanya.

Sehubungan itu, perbicaraan seterusnya kes tuntutan nafkah anak dan nafkah iddah difailkan disebut semula pada 26 Ogos depan di Mahkamah Rendah Syariah Putrajaya.

Manakala, sebutan kes tuntutan muta’ah Adibah pula akan diperdengarkan hakim di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya yang difahamkan membabitkan jumlah amaun tertentu.

Adibah dan Rosland sah bercerai talak satu di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2023.

Mereka sebelum itu sudah hidup bersama selama 28 tahun selepas mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan.

Bagaimanapun, Rosland yang juga ahli perniagaan berkahwin kali kedua dengan Miera pada Julai 2020 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua anak perempuan. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here