Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang bapa mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan tirinya berusia 16 tahun dalam sebuah rumah, di sini pada Disember lalu hingga Mac tahun ini.
Tertuduh yang juga seorang penjaga stor berusia 49 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia 16 tahun tujuh bulan yang mana tertuduh mempunyai hubungan amanah dengan mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di sini pada Disember lalu dan Februari serta Mac tahun ini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen 14 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Aisyah Abdullah.
Terdahulu Ahmad Faiz Fitri tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes tersebut serius dan berlaku berulang kali.
Namun, Aisyah memohon mahkamah membenarkan ikat jamin memandangkan anak guamnya perlu menyara lima anak dan isteri dengan pendapatan sebagai penjaga stor sebanyak RM70 sehari.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin.
Sebutan semula kes pada 8 September depan.
IMedikel TV






