DHAKA: Bangladesh kini berdepan lonjakan kes dan kematian akibat denggi, dengan pakar kesihatan memberi amaran bahawa Ogos berpotensi menjadi bulan paling teruk sekiranya tindakan segera tidak diambil.
Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian data rasmi menunjukkan setakat tahun ini, penyakit bawaan nyamuk itu meragut 101 nyawa dan menjangkiti 24,183 orang, sekali gus memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan negara yang sudah sedia terbeban.
Peningkatan mendadak jumlah kematian berlaku seiring lonjakan kes.
Setakat bulan ini, sejumlah 19 orang dilaporkan meninggal dunia akibat denggi, selepas 41 kematian pada Julai iaitu lebih dua kali ganda berbanding 19 kematian pada Jun.
Pakar Entomologi Universiti Jahangirnagar, Kabirul Bashar berkata situasi yang berlaku kini sangat kritikal.
“Virus sudah merebak ke seluruh negara dan tanpa tindakan tegas, hospital akan lumpuh,” katanya.
Menurutnya, Ogos berpotensi merekodkan sekurang-kurangnya tiga kali ganda kes berbanding Julai, dengan jumlah tertinggi dijangka pada September.
Pihak berkuasa kesihatan menggesa orang ramai menggunakan penghalau nyamuk, tidur di bawah kelambu dan menghapuskan air bertakung yang menjadi tempat pembiakan nyamuk.
“Kita memerlukan semburan kawalan nyamuk secara bersepadu dan gotong-royong pembersihan komuniti, khususnya di kawasan berisiko tinggi,” kata Bashar.
Pakar menyatakan perubahan iklim, cuaca panas dan lembap serta hujan berselang-seli mewujudkan keadaan optimum bagi pembiakan nyamuk Aedes, pembawa virus denggi.
Walaupun Dhaka kekal sebagai titik panas utama, namun kes denggi dilaporkan meningkat di seluruh negara.
Jumlah jangkitan yang tinggi di luar ibu negara turut menambah tekanan kepada kemudahan kesihatan di kawasan luar bandar yang terhad kemampuannya merawat kes serius.
Doktor memberi amaran bahawa rawatan awal amat penting. Sesiapa yang mengalami sakit perut teruk, muntah, pendarahan atau keletihan melampau perlu segera mendapatkan rawatan hospital bagi mengurangkan risiko komplikasi atau kematian.
Pakar kesihatan menegaskan penyertaan aktif komuniti, bersama usaha kawalan nyamuk yang diketuai kerajaan, adalah kunci mengelakkan wabak yang berpotensi menjadi antara yang terburuk dalam sejarah Bangladesh.
Tahun paling maut setakat ini ialah 2023, apabila 1,705 kematian dan lebih 321,000 jangkitan dilaporkan. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






