Isu hak asasi manusia di Korea Utara kekal sebagai agenda utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ekoran permintaan dikemukakan Amerika Syarikat (AS) dan Albania.
Permintaan itu dibuat selepas kedua-dua negara semalam, menyerahkan nota kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dengan sokongan puluhan negara, bertambah dua kali ganda berbanding sokongan diterima tahun lalu.
Ia mungkin menimbulkan kemarahan Pyongyang, yang berulang kali menafikan dakwaan berhubung penderaan dan menyalahkan sekatan bagi keadaan kemanusiaan yang teruk.
PBB mengenakan sekatan ke atas program peluru berpandu balistik dan nuklear terhadap Korea Utara sejak 2006, namun diberi pengecualian bagi penghantaran bantuan kemanusiaan.
Wakil Korea Utara ke PBB di New York bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.
Nota ringkas kepada 15 anggota Majlis Presiden itu ditandatangani AS dan Albania serta mendapat sokongan 59 negara lain termasuk dari kesatuan Eropah (EU).
Prosedur majlis menetapkan sebarang agenda akan dihapuskan, sekiranya perbincangan mengenainya tidak dibangkitkan dalam mesyuarat bagi tempoh tiga tahun. Agenda itu bagaimanapun akan dikekalkan selama setahun, jika terdapat bantahan daripada ahli.
Majlis berkenaan membincangkan perihal hak di Korea Utara secara tertutup setiap tahun, sejak 2020. China dan Russia bagaimanapun membantah isu itu dibangkitkan, kononnya bagi menjaga keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Mesyuarat umum tahunan mengenai pelanggaran hak asasi manusia di Korea Utara juga diadakan oleh UNSC, sejak 2014 hingga 2017.
Namun, ia tidak dibincangkan pada 2018 susulan rundingan Bekas Presiden AS, Donald Trump bersama pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un berhubung tindakan pengurangan atau penghapusan senjata nuklear, namun gagal mencapai kata sepakat.
Sumber: BH Online & Reuters
— Imedikel TV






