Home Hiburan ANAK SULUNG TIARA JACQUELINA SELAMAT DIIJAB KABUL

ANAK SULUNG TIARA JACQUELINA SELAMAT DIIJAB KABUL

690
0

KUALA LUMPUR: Puan Sri Tiara Jacquelina bersyukur anak sulung, Hani Karmila Mohsin Effendi selamat bergelar isteri kepada Abang Saef Hud Abang Iskandar.

Memetik laporan Berita Harian, Tiara menghargai ketelusan Abang Saef dan menyifatkan jejaka itu insan tepat buat puteri kesayangannya, Mila.

“Kami gembira apabila Mila sudah temui insan yang bukan sahaja menyayanginya, tetapi, benar-benar melengkapkan dirinya. Kami sudah pun menyayangi Abang Saef seperti anak lelaki kami sendiri.

“Selepas lapan tahun bersama, mereka membina cinta yang kukuh, teguh dan tidak berbelah bagi. Hari ini, kami bukan sahaja menerima seorang menantu lelaki, tetapi juga keluarga baharu.

“Keluarga kami sangat gembira dan bersyukur atas penyatuan cinta yang indah ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tiara dan suami, Tan Sri Effendi Norwawi juga gembira majlis pernikahan anak mereka yang dikendalikan dalam suasana intim dengan dihadiri anggota keluarga dan sahabat rapat, lancar.

Majlis perkahwinan bermula dengan acara meminum Teh Cina dan adat ‘Gatecrashing’ yang meriah pada 3 Ogos lalu.

Majlis itu dianjurkan bagi menghormati warisan Cina dalam keturunan Mila. Acara diteruskan dengan majlis akad nikah yang sarat dengan tradisi Sarawak dan Melayu. Kedua-dua majlis diadakan di kediaman keluarganya, secara tertutup.

Mengekalkan tradisi keluarga, pasangan ini meraikan warisan Cina, Sarawak dan Melayu mereka melalui dua upacara yang penuh bermakna.

Majlis akad nikah disempurnakan oleh Ustaz Azwan dan disaksikan oleh bapa-bapa pengantin, Tan Sri Abang Iskandar Hashim dan Tan Sri Effendi Norwawi.

Mila atau nama pentasnya, Mila Mohsin dan Abang Saef kali pertama bertemu pada kejohanan jiujitsu pada 2017.

Mereka kini bersama-sama mengendalikan RYU Combat Academy di mana Abang Saef berkhidmat sebagai ketua jurulatih. Mereka berkongsi minat yang sama dalam seni mempertahankan diri.

Sementara itu, Abang Saef dan Mila masing-masing mengucapkan terima kasih kepada semua atas ingatan tulus ikhlas dan doa.

“Walaupun majlis-majlis ini diadakan secara tertutup, semangat kasih sayang dan perpaduan yang terpancar diharapkan dapat memberi inspirasi kepada semua yang percaya pada hubungan yang bermakna dan kekeluargaan ini,” kata mereka. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here