Home Hiburan ALYA IMAN REHAT 6 BULAN DEMI KESIHATAN FIZIKAL, MENTAL

ALYA IMAN REHAT 6 BULAN DEMI KESIHATAN FIZIKAL, MENTAL

44
0

KUALA LUMPUR: Memasuki 2026, pelakon Alya Iman memilih untuk melangkah dengan lebih tenang selepas mengambil keputusan berehat selama enam bulan pada 2025 demi menurunkan berat badan dan menjadi versi terbaik dirinya.

Memetik Berita Harian, Alya atau nama sebenarnya, Nur Alya Iman Azmil, 25, berkata keputusan untuk melakukan ‘hiatus’ dibuat selepas berdepan tekanan emosi susulan kritikan terhadap bentuk fizikal dan berat badannya.

“Sejujurnya, 2025 adalah tahun yang agak tenang buat saya. Saya pilih untuk berundur seketika dengan berada di rumah selama hampir enam bulan. Tempoh itu saya gunakan sepenuhnya untuk berehat dan memperbaiki diri, sama ada daripada segi mental mahupun fizikal.

“Alhamdulillah, perubahan itu memang dapat dirasai. Pada awal 2025, rezeki saya datang berturut-turut. Selepas itu, saya ambil keputusan untuk berehat sebelum merancang kemunculan semula pada 2026. Setakat ini, Alhamdulillah, jalannya semakin cerah,” katanya kepada BH Online.

Mengakui tempoh berkenaan bukan sesuatu yang mudah, Alya berkata tekanan emosi yang dilalui memberi kesan mendalam, lebih-lebih lagi apabila kritikan diterima secara berterusan tanpa memikirkan perasaannya sebagai insan biasa.

“Terus terang saya akui, tempoh itu memang bukan mudah. Sebagai pelakon, kita tetap manusia dan ada perasaan. Apabila ada yang berkata secara terus terang, ‘Alya, kau gemuk, tak boleh’, sudah tentu ia menyakitkan hati.

“Namun, dalam masa sama, saya faham tuntutan sebagai pelakon. Kita perlu kelihatan sesuai di skrin. Sebab itu, enam bulan saya berkurung di rumah untuk menurunkan berat badan benar-benar menguji mental,” katanya.

Menurut Alya, tempoh berehat itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan rutin senaman harian dan kawalan pemakanan yang konsisten, sekali gus membuahkan hasil memberangsangkan.

“Sepanjang tempoh itu, rutin saya sangat disiplin. Setiap hari ke gim dan menjaga pemakanan. Sasaran saya adalah untuk terus menurunkan berat badan setakat mana yang termampu.

“Alhamdulillah, setakat ini saya sudah berjaya menurunkan sekitar 20 kilogram, daripada 70 kilogram kepada 50 kilogram,” katanya.

Pada masa sama, Alya menegaskan perubahan yang dilalui bukan bertujuan memenuhi persepsi luaran atau tuntutan industri semata-mata, sebaliknya demi mengekalkan jati diri serta kelangsungan kerjayanya sebagai pelakon.

“Bagi saya, semua ini adalah rezeki daripada Allah. Apabila orang bercakap tentang ‘pakej lengkap’, cantik dan boleh berlakon atau sekadar cantik lalu mudah diterima, saya tidak pernah cuba meletakkan diri dalam kategori itu.

“Saya cuma mahu menjadi diri sendiri. Saya tidak berpura-pura atau cuba menjadi orang lain. Itu bukan Alya Iman. Saya seorang yang terus terang, terbuka dan agak ‘kasar’, dan itulah diri saya yang sebenar.

“Penurunan berat badan ini pula bukan untuk memenuhi tanggapan orang, tetapi untuk memastikan saya terus relevan dalam kerjaya,” katanya.

Mengulas lanjut, Alya turut berkongsi pandangannya mengenai penurunan berat badan secara drastik yang menurutnya tidak sesuai untuk jangka panjang.

“Saya percaya penurunan berat badan secara drastik dan cepat tidak akan bertahan lama. Lambat laun, berat badan akan naik semula.

“Saya tidak hakimi sesiapa yang memilih kaedah tertentu seperti ubat atau suplemen kurus. Itu pilihan masing-masing. Namun, setiap orang perlu mencari cara yang paling sesuai untuk diri sendiri,” katanya.

Alya mula dikenali menerusi telefilem pertamanya, Lelaki Kelas Sebelah. Alya adalah anak pelakon veteran, Allahyarham Azmil Mustapha.

Alya membintangi drama Bila Cinta Menjadi Dosa di slot Lestary TV3 yang akan bersiaran mulai 27 Februari ini. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here