Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: “Tahun ini rasa lain sebab mak dan ayah sudah tiada.”
Demikian luahan Nur Alia Natasha Mohd Fauzi, 18, yang terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga menjaga empat adiknya selepas kehilangan kedua ibu bapanya dalam tempoh tidak sampai setahun.
Dia yang berasal dari Kampung Chengal Batu, Pasir Puteh, berkata, ibunya, Siti Roziana Muda, 39, meninggal dunia tahun lalu akibat komplikasi paru-paru dan kencing manis manakala bapanya, Mohd Fauzi Mat Zain, 51, pula meninggal dunia akibat serangan jantung pada April lalu.
Menurut Nur Alia Natasha, sambutan Aidiladha tahun ini amat berbeza buat mereka lima beradik kerana buat pertama kali diraikan tanpa kehadiran ibu dan ayah.

“Memang rasa sedih dan sunyi sebab sebelum ini ada mak ayah lagi. Tahun ini semuanya berbeza.
“Saya kasihan kepada adik-adik kerana mereka masih kecil terutama adik bongsu yang kerap bertanya pasal ayah mereka,”katanya ketika ditemui di rumah bapa saudaranya, semalam.
Katanya, mereka berlima menyambut Aidiladha di rumah bapa saudara yang dipanggil Pak Ngah di Kampung Pantai Senok, Bachok.
“Setiap kali cuti sekolah memang kami akan tinggal di rumah saudara sebelah arwah ibu,” katanya.
Nur Alia Natasha kini menjaga empat adiknya iaitu Nur Aleeya Balqis, 17, Muhammad Faris, 13, Muhamad Amin, 10, dan Nur Eryna Imani, 5.
Walaupun baru berusia 18 tahun, dia tetap cekal menguruskan persekolahan dan keperluan harian adik-adiknya demi memastikan mereka terus membesar seperti kanak-kanak lain.
“Saya kena kuat demi adik-adik sebab mereka masih kecil lagi. Saya nak tengok mereka berjaya,” katanya.
Menurutnya, dia sebelum ini pernah bekerja di kedai makan selain menjalani latihan praktikal sebagai pembantu penjagaan kesihatan selama lima bulan.
Namun katanya, dia terpaksa menangguhkan hasrat untuk bekerja kerana mahu memberi tumpuan kepada adik-adiknya terlebih dahulu.
“Saya memang ada fikir untuk kerja, tapi sekarang saya nak jaga adik-adik dulu sampai mereka besar sedikit,” katanya.
Katanya, adik keduanya, Nur Aleeya Balqis akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dan dia mahu memastikan adiknya dapat memberi fokus sepenuhnya kepada pelajaran.
“Saya bercadang mula mencari kerja tahun depan sebab masa itu adik kedua saya sudah habis SPM dan boleh bantu urus adik-adik lain,” katanya.
Nur Alia Natasha berkata, mereka kini menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM850 dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM500 sebulan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi menghulurkan bantuan kepada kami.
“Dengan bantuan tersebut memang banyak membantu meringankan beban keluarga kami,”katanya.
Katanya, wang sumbangan yang diterima turut digunakan untuk membeli sebuah motosikal bagi memudahkan urusan menghantar dan mengambil adik-adiknya di sekolah.

“Wang sumbangan yang diberikan sebelum ini saya kumpul sedikit demi sedikit untuk membeli sebuah motosikal.
“Ini memudahkan saya untuk urusan seharian tanpa perlu menyusahkan orang lain,” katanya.
Dia turut berhasrat mengambil lesen motosikal dan kereta dalam masa terdekat apabila mempunyai wang mencukupi.
Dalam pada itu, Nur Alia Natasha bersyukur kerana masih mempunyai datuk dan nenek serta ahli keluarga kedua-dua belah pihak yang sentiasa memberi sokongan emosi dan kewangan.
“Walaupun mak ayah dah tak ada, keluarga banyak bantu kami. Saya bersyukur kerana masih ada mereka tempat untuk kami menumpang kasih,” katanya.
IMedikel TV






