Home Buletin Semasa  5 BERADIK YATIM PIATU TERIMA BANTUAN ZAKAT MAIK

 5 BERADIK YATIM PIATU TERIMA BANTUAN ZAKAT MAIK

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Nasib lima beradik yatim piatu di Kampung Chengal Batu, Pasir Puteh yang kehilangan kedua-dua ibu bapa akhirnya mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Pegawai Agihan Zakat MAIK, Siti Farahida Fauzi berkata, pihaknya segera turun padang menziarahi keluarga berkenaan selepas kisah mereka tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut Siti Farahida, anak sulung keluarga itu, Nur Alia Natasha Mohd Fauzi, 18, kini memikul tanggungjawab menjaga empat adiknya selepas ibu mereka, Siti Roziana Muda meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru dan kencing manis pada Oktober tahun lalu.

“Manakala bapa mereka, Mohd Fauzi Mat Zain pula meninggal dunia akibat serangan jantung pada April lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

“Prihatin dengan keadaan itu, MAIK menyalurkan bantuan segera sebanyak RM2,000 selain meluluskan bantuan bulanan RM500 bagi menampung keperluan asas dan perbelanjaan harian keluarga terbabit,”katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, menurut beliau MAIK turut bersetuju membaik pulih rumah didiami lima beradik berkenaan bagi memberi keselesaan kepada mereka sebagaimana dipohon Nur Alia Natasha.

Dalam pada itu, pihak MAIK turut memperkenalkan imam kepada keluarga terbabit supaya sebarang masalah atau keperluan mendesak dapat dirujuk dan diselesaikan dengan lebih cepat.

Siti Farahida berkata, pihaknya berharap bantuan zakat yang disalurkan itu dapat meringankan beban keluarga berkenaan sekali gus memastikan adik-beradik terbabit dapat meneruskan persekolahan dengan baik.

“Pendidikan adalah jalan terbaik untuk membantu kehidupan mereka pada masa hadapan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here