KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak mahu terlalu tertekan memburu gelaran dalam setiap kejohanan Jelajah Dunia, sebaliknya menjadikan saingan itu sebagai medan mengenal pasti kelemahan dan memperkemaskan semula permainan mereka.
Bagi Aaron, fokus utama mereka ketika ini adalah memastikan prestasi lebih konsisten menjelang kejohanan besar yang menjadi sasaran utama musim ini.
Justeru, apa yang utama adalah perbincangan bersama barisan jurulatih dan menganalisis corak permainan dari satu kejohanan ke satu kejohanan.
“Jelajah Dunia adalah kejohanan untuk memastikan permainan lebih konsisten dan fokus utama yang lebih penting adalah kejohanan besar,” katanya yang akan meneruskan persaingan di Terbuka Singapura bermula esok.
Di pusingan pertama nanti, mereka dijadual berdepan pasangan Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov.
Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik hadir ke Singapura selaku juara bertahan selepas menewaskan wakil Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 15-21, 21-18, 21-19 pada final edisi lalu.
Bagi tahun ini terdapat dua kejohanan besar yang bakal menjadi buruan penting buat pemain elit dunia iaitu Kejohanan Dunia (17 hingga 31 Ogos) di India dan Sukan Asia Aichi-Nagoya (19 September hingga 4 Oktober).
Pada Sabtu lalu, pasangan nombor dua dunia itu terkandas di separuh akhir Masters Malaysia 2026 selepas tewas kepada beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani straight set 18-21, 12-21 dalam tempoh 33 minit.
Setakat musim ini, pencapaian terbaik mereka adalah muncul naib juara di dua kejohanan utama iaitu Terbuka Malaysia dan Seluruh England.
Di Terbuka Malaysia, mereka tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 15-21, 21-12, 18-21 sebelum sekali lagi dikecewakan lawan sama di final Seluruh England menerusi keputusan 21-18, 12-21, 19-21. – HMetro Online –
IMedikel TV






