Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Gua Musang mengambil inisiatif dengan memberi pendedahan tentang kesan dan bahaya penyalahgunaan dadah terhadap pelajar bawah umur menerusi Program Intelek Asuhan Rohani di Permai Beach Resort, di sini.
Ketua Unit Pencegahan AADK, Asyraf Faiz Mohd Razali, berkata program tersebut melibatkan empat sekolah yang membabitkan 40 pelajar daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Lekan Jaya, SK Tengku Muhammad Fakry Petra, SK Gua Musang dan SK Sri Wangi.
“Kita juga ingin membina kemahiran hidup dan daya tahan agar kanak-kanak bawah umur ini tidak terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang.
“Penting bagi mereka untuk memupuk kesedaran diri pada peringkat awal sebelum mereka jejak ke alam dewasa,”katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah berkaitan “Interaktif Dadah”, di sini, hari ini.

Tambahnya, AADK turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Daerah Gua Musang dan IMedikel Pharma Holdings khususnya dalam memberi pendedahan tentang pemakanan yang sihat bagi kanak-kanak.

Selain itu, program tersebut berlangsung selama dua hari satu malam dengan pengisian ceramah “Pemakanan Sihat” daripada Pakar Pemakanan IMedikel, Munirah Ab Ghani, dan “Pembangunan Adab” daripada Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Unit Hal Ehwal Murid, Zainudin Zakaria.

Menurut Asyraf, pihaknya berharap pelajar dapat memanfaatkan ilmu pengetahuan yang dikongsi bagi menghadapi perkembangan peredaran zaman pada masa kini.
“Walaupun kita kongsikan satu persatu ilmu asas tentang bahaya dadah, ilmu ini begitu penting untuk mereka guna kerana pelbagai masalah yang timbul pada masa sekarang terutamanya dari golongan mereka yang sedang membesar dan mengenali dunia luar,”katanya.
Imedikel TV






