Oleh: Afrizam Arif, Wartawan Imedikel TV
KOTA BHARU: Pengorbanan graduan Orang Asli, Norlina Adek, 24 yang belajar sambil menjaga ahli keluarga sakit mendorong dia meraih kejayaan semasa konvokesyen hari ini.

Norlina berkata dia adalah satu-satunya wakil kaum Orang Asli yang menghadiri konvokesyen bersama 221 graduan lain yang belajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).
“Saya membahagikan masa belajar dan menjaga kedua-dua ibu bapa serta nenek yang sakit serta adik bongsu, Rosmariadina, 9, menghidap penyakit autisme.
“Saya berasal dari suku kaum Temiar yang menetap di perkampungan orang asli Kampung Hanir, Pos Tuel di Gua Musang dan bersyukur dengan kejayaan ini,” katanya.
Ujarnya perkara paling mencabar semasa belajar ialah ketika pandemik COVID-19, dia yang melanjutkan pengajian dalam jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak terpaksa meneruskan pengajian melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selama tiga tahun saya mengharungi pembelajaran secara atas talian sambil menjaga anak serta empat ahli keluarga yang sakit.
“Antara mereka yang sakit ialah ibu, Mainah Temangi, 54, yang ada penyakit darah tinggi, nenek, Abong Asu, 76, yang mengalami lumpuh, manakala ayah, Adek Jeneral, 63, baru sahaja meninggal dunia bullan lalu akibat gout,” katanya yang ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) kali ke-23, di sini hari ini.
Norlina mendapat sokongan daripada suami Amran Angah, 27, yang bekerja sebagai penoreh getah sentiasa memberi dorongan dan semangat untuknya.
Kata anak keenam daripada lapan beradik itu bercita-cita menjadi seorang guru dengan hasrat ingin membantu masyarakat Orang Asli supaya dapat melahirkan generasi mahir dan bijak dalam semua aspek.
IMedikel TV






