Home Buletin Semasa KECEDERAAN MATA BOLEH MENYEBABKAN BUTA

KECEDERAAN MATA BOLEH MENYEBABKAN BUTA

Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan Imedikel TV

MACHANG: Mata adalah salah satu pancaindera yang tidak ternilai harganya.

Menurut Pakar Oftalmologi Hospital Raja Perempuan Zainab II, Dr Zamri Noordin, kesihatan mata adalah salah satu perkara penting yang patut dititik berat oleh orang ramai.

Katanya, sekiranya masalah rabun serta kecederaan pada mata tidak dirawat dari awal, ia boleh menyebabkan seseorang itu mengalami kebutaan.

“Kesihatan mata ini dia boleh menyebabkan kebutaan kalau kita tidak rawat dia dengan awal jadi selain daripada buta dia juga boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Hari Penglihatan Sedunia 2023 di Kompleks Perpaduan Daerah Machang, di sini, pada Khamis.

Sempena hari penglihatan sedunia bertemakan “Love Your Eyes at Work” mengingatkan orang ramai akan pentingnya menjaga kesihatan mata di tempat kerja.

Beliau berkata, orang ramai perlu membuat pengesanan serta saringan awal bagi mengenal pasti penyakit mata yang berlaku.

Dr Zamri berkata, mereka boleh mendapat pendedahan tentang kesihatan mata menerusi program hari penglihatan sedunia bagi meningkatkan sosial ekonomi mereka.

“Hari penglihatan sedunia ini dia ada tema dia jadi tema dia adalah Love Your Eyes at Work dan ianya memberi kesedaran tentang kesihatan mata kepada orang awam di mana kesedaran dan kita akan ada juga la program-program untuk menyaring orang awam dari segi saringan mata untuk mengesan awal penyakit-penyakit mata di mana penyakit-penyakit mata adalah boleh dirawat jadi objektif utama adalah untuk mencegah kebutaan.”

Menurut Dr Zamri, pihaknya turut mengadakan ceramah kesihatan serta aktiviti saringan penglihatan dan kesihatan antaranya pemeriksaan penyakit mata, tekanan darah dan kencing manis bagi memupuk kesedaran awal kepada orang ramai.

Tambahnya, program itu disertai lebih kurang 200 orang dan sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar Machang, agensi kerajaan serta PERKESO.

“Kita juga adakan ceramah kesihatan dan juga ceramah mengenai yang disampaikan agensi seperti perkeso kerana dia juga terlibat dalam kesihatan di tempat kerja dan kita ada juga aktiviti lain seperti fun walk senamrobik di mana ianya untuk memberi orang awam yang menyertai fun walk ini untuk mereka mengalami macam mana keadaan penglihatan pesakit mata seperti kalau koma dia nampak macam mana, kencing manis dia nampak macam mana, katarak dia nampak macam mana.”

IMedikel TV


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here