HANGZHOU: Hong Kong bakal menjadi ‘batu penghalang’ terakhir buat atlet skuasy negara, S Sivasangari pada aksi final perseorangan wanita Sukan Asia 2022, esok.
Atlet berusia 24 tahun itu mengesahkan tempat ke final apabila menundukkan Pemain Paling Bernilai (MVP) Kejuaraan Berpasukan Dunia Wanita 2022, Satomi Watanabe 3-0 di Pusat Skuasy Olimpik Hangzhou, hari ini.
Memetik laporan menerusi berita harian,Berdepan tentangan dalam dua set pertama sebelum menang 11-8, 11-8, Sivasangari yang berada di ranking ke-37 dunia itu menoktahkan kemenangan 11-4 pada set ketiga ke atas lawan yang menghuni ranking ke-18 dunia.
Menanti pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu adalah pemain Hong Kong memandangkan satu lagi separuh akhir menemukan dua pemain daripada negara terbabit yang berentap sesama sendiri iaitu Chan Sin Yuk dan Ho Tze Lok.
“Saya harap kedua-dua pemain akan mengharungi perlawanan yang panjang dan menggunakan tenaga yang banyak. Tetapi untuk menjadi yang terbaik, kita perlu menewaskan pemain yang terbaik juga.
“Jadi saya hanya perlu fokus kepada diri sendiri, cuba memenangi satu mata demi satu dan tidak berfikir terlalu jauh. Satu lagi aksi yang terbaik untuk esok dan saya harap dapat terus konsisten untuk meraih kemenangan,” katanya.
Mengulas lanjut pertemuannya menentang Satomi, Sivasangari berpuas hati dengan aksinya yang disifatkan jauh lebih banyak sekalipun terpaksa bersaing sengit dengan pemain dari Jepun itu.
“Saya sudah bertemu dengan Satomi sejak daripada remaja, kami adalah kawan baik di luar tetapi seteru di alam gelanggang. Saya gembira dapat memenangi ketiga-tiga set dan saya sentiasa cuba untuk mendahului lawan.
“Ini adalah satu pertemuan yang begitu kompetitif, mungkin aksi ini sedikit lebih mudah di mana saya sentiasa memberi cabaran dan membuatkan Satomi kepenatan,” katanya.-AGENSI-Berita harian online-
Imedikel TV






