HANGZHOU: Pemanah ketiga yang tampil buat kali pertama di Sukan Asia, Mohamad Syafiq Md Ariffin disifatkan sebagai ‘pemegang kunci’ bagi skuad compound lelaki negara dalam misi mara ke separuh akhir acara compound berpasukan lelaki.
Trio negara dibarisi Syafiq, Juwaidi Mazuki dan Alang Ariff Aqil Muhammad Ghaz bakal berentap dengan Iran pada peringkat suku akhir acara compound berpasukan lelaki di Pusat Sukan Fuyang Sinhu, esok.
Trio Iran dibarisi Mohammadsaleh Palizban, Armin Pakzad dan Milad Rashidi.
Juwaidi berkata, dia percaya Syafiq yang baru berusia 23 tahun itu sudah berjaya mendapatkan rentaknya walaupun mengharungi permulaan agak sukar dan berdepan sedikit tekanan, sebelum ini.
“Dengan ketenangan pemanah ketiga kita (Syafiq) yang sudahpun mendapatkan semula rentaknya, kita boleh. Dia (Syafiq) okay, yang lain okay. (Nanti) Yang lain senang sikit kerja,” kata Juwaidi.
Memetik laporan menerusi berita harian,Mengulas lanjut lawan yang bakal ditemui mereka, Juwaidi mengakui dia mengenali trio terbabit kerana pernah bertemu mereka pada penentuan pingat gangsa di Piala Asia sebelum ini.
Namun mereka tetap perlu berhati-hati memandangkan dia melihat Iran masih ‘menyembunyikan’ kemampuan sebenar mereka sekali gus menyaksikan mereka perlu tampil dengan aksi yang terbaik.
“Saya rasa mereka ada simpan sedikit (kekuatan) mereka dan mereka adalah atlet yang sama. Mereka tiada perubahan tetapi kita yang ada perubahan atlet.
“Cuma ini bukanlah satu kelebihan untuk kita walaupun kita tahu mereka menggunakan trio yang sama pada Sukan Asia kali ini,” katanya.
Terdahulu, mereka mengesahkan tempat ke suku akhir selepas mengetepikan cabaran Bangladesh menerusi catatan 231-229.-AGENSI-Berita harian online-
Imedikel Tv






