HANGZHOU: Pemain perseorangan lelaki utama negara,Lee Zii Jia berada pada tahap prestasi terbaiknya selepas menyingkirkan juara dunia, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand pada aksi Sukan Asia Hangzhou, hari ini.
Malah, pemain ranking ke-16 dunia itu sempat berseloroh dengan media tempatan apabila berkata dia masih mempunyai banyak tenaga selepas sering kali tersingkir di pusingan awal dalam saingan musim ini.
Memetik laporan menerusi berita harian,Beraksi dalam pusingan 16 terbaik di Gimnasium Binjiang yang dipenuhi dengan kehadiran penonton, Zii Jia mencetuskan kebangkitan sensasi untuk melakar kemenangan 10-21, 21-19, 21-6 dalam tempoh kurang sejam.
“Jelas dapat dilihat stamina Kunlavut semakin menurun, setiap pemain mempunyai kondisi tubuh badan yang berbeza.
“Kami mengharungi banyak kejohanan sepanjang tahun ini. Saya mengalami banyak kekalahan di pusingan awal manakala dia berjaya mara ke pusingan seterusnya.
“Saya fikir dia lebih penat berbanding saya,” kata Zii Jia yang akan berdepan pemain India, H S Prannoy pada aksi suku akhir.
Sebagai rekod, Zii Jia mengalami kekalahan di pusingan awal sebanyak 11 kali (termasuk pusingan kedua) daripada 14 kejohanan Jelajah Dunia yang disertainya musim ini.
Kunlavut pula hanya tewas di pusingan awal sebanyak lima kali kali daripada 11 kejohanan.
Bagaimanapun, untuk berlaku adil kepada bintang muda Thailand berusia 21 tahun itu, Kunlavut mengakui dia tidak dapat melakukan persiapan terbaik sebelum Sukan Asia tahun ini.
Dia mendedahkan kepada media, dia terpaksa menghabiskan masa selama empat hari di hospital sebelum berlepas ke Hangzhou.
Kunlavut tidak menyertai sebarang kejohanan sejak dia memenangi kejuaraan dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lalu.
“Saya tidak fikir banyak kerana saya sedar secara fizikalnya saya tidak berada pada tahap terbaik.
“Saya mengalami influenza dan terpaksa dimasukkan ke hospital selama empat hari sebelum datang ke sini.
“Disebabkan tidak dapat melakukan persiapan terbaik, saya tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi di Sukan Asia kali ini.
“Apa pun, pujian untuk Zii Jia, dia seorang pemain yang bagus dan bermain dengan sangat baik hari ini,” kata Kunlavut.-AGENSI-Berita harian-
Imedikel TV






