Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah, Wartawan Imedikel TV
KOTA BHARU: Dunia media dalam pelaporan berita makin mencabar dengan lambakan dan kehadiran media era baharu.
Para wartawan arus perdana perlu berlumba-lumba mendahului para netizen yang seolah-olah menjadi “wartawan alam maya”.
Penceramah, Adilla Sharinni Wahid, dalam ceramahnya bertajuk “Cabaran Dunia Penulisan Berita” berkata bagaimanapun beza pelaporan berita netizen dengan wartawan bertauliah adalah penulisan atau laporan berita mereka tidak disahkan oleh pihak berkuasa.

“Biasanya netizen berlumba-lumba untuk menjadi orang pertama dalam pelaporan berita di media sosial khususnya.
“Banyak berita yang disampaikan oleh mereka terutama yang membabitkan jenayah. Tetapi malangnya hanya wartawan bertauliah sahaja yang mendapatkan maklumat tepat daripada pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Kursus Pemantapan Penulisan Berita “Mendepani Cabaran Masa Kini”, di Auditorium Titian Murni, Jabatan Penyiaran Kelantan, di sini, hari ini.
Menurut Adilla, bagaimanapun setiap wartawan perlu mematuhi etika kewartawanan dalam menyampaikan maklumat yang sahih kepada masyarakat.
Katanya walaupun berdepan dengan cabaran dengan era teknologi masa kini, namun penulisan berita daripada wartawan bertauliah masih diutamakan.
Hadir sama Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat (YBR), Syaiful Rizal Abdul Ghani, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin dan Presiden Kelab Media Kelantan (KEMUDI), Majidah Ismail.
Imedikel TV






