Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan Imedikel TV
KOTA BHARU: Karnival Pendidikan Kerjaya berlangsung dengan jayanya selama dua hari dengan penglibatan sebanyak 24 Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan kemahiran di Politeknik Kota Bharu (PKB).
Karnival itu merupakan kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam usaha memberi pendedahan awal berkaitan hala tuju pendidikan dan kerjaya.
Yang DiPertua Majlis Guru Kaunseling Negeri Kelantan, Zaidi Kimat, berkata, karnival itu akan menjadi halatuju pelajar ke menara gading.
“Pelajar boleh mendapat maklumat terus daripada IPTS tentang pengajian dan segala maklumat yang ditawarkan oleh IPTS bukan hanya bergantung pada pihak sekolah ataupun guru bimbingan kaunseling,”katanya kepada pemberita selepas Program Karnival Pendidikan Kerjaya Sukses Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2023 di sini, semalam.
Beliau berkata, penglibatan adalah seramai 7000 pelajar daripada tingkatan empat, lima dan enam seluruh Negeri Kelantan.
Menurutnya, program itu mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelajar kerana terdapat di kalangan mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke PKB.
Dalam pada itu, hasil karnival itu telah berjaya membuktikan pelajar meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan layak untuk meneruskan pengajian ke menara gading.
“Lebih kurang dalam 80 peratus pelajar yang dapat menyambung pengajian ke peringkat IPTA dan IPTS terutama di Negeri Kelantan kerana keputusan SPM amat memberangsangkan.”ujarnya.
Imedikel TV






