Home Buletin Semasa PEMBANTU RUMAH TUNTUT TUNGGAKAN GAJI SEMBILAN TAHUN

PEMBANTU RUMAH TUNTUT TUNGGAKAN GAJI SEMBILAN TAHUN

Oleh: Afrizam Arif, Wartawan IMedikel

KOTA BHARU: Seorang pembantu rumah warga Indonesia membuat tuntutan writ saman terhadap bekas majikan yang didakwa tidak membayar gaji selama sembilan tahun tiga bulan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu bermula hari ini.

Saksi utama yang juga plaintif, Derfi Bisilisin, 36 mendakwa dipukul dan ditampar hingga cedera oleh bekas majikan serta ahli keluarganya.

Perbicaraan tersebut berlangsung selama dua hari bermula hari ini dilakukan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.


“Saya dipukul dan ditampar oleh majikan, isteri serta ibunya semasa berkhidmat dengan keluarga itu,” dakwanya yang berasal dari Kupang, Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

Berdasarkan rekod, pada November 2021, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur melantik peguam bagi mewakili plaintif untuk membuat dua tuntutan iaitu gaji sebagai pembantu rumah berjumlah RM93,000 dan gaji sebagai pembantu kedai aksesori kereta sejumlah RM109,000.

Sebelum itu, pada Januari 2023, majikan Defri dihukum penjara tujuh tahun dan isterinya tiga tahun serta didenda RM30,000 selepas didapati bersalah mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 kerana eksploitasi kerja paksa.

Derfi berkata antara tugasnya ialah melakukan kerja pembantu rumah seperti membasuh pinggan dan memasa, juga disuruh untuk bekerja di kedai aksesori kenderaan sepanjang waktu siang walaupun perkara itu tidak termaktub dalam perjanjian kontrak pekerjaannya.

“Saya juga disuruh tidur di atas lantai di ruang tamu rumah dan diberi makan hanya sehari sekali iaitu pada waktu malam, selain tidak dibayar gaji sepanjang tempoh perkhidmatan bermula 23 Julai 2011 sehingga saya melarikan diri pada 29 Oktober 2020,” katanya.

Derfi yang berasal dari Kupang, Indonesia berhak menuntut kesemua gaji bagi dua pekerjaan tersebut, ganti rugi am dan teladan berjumlah RM50,000 atas layanan buruk yang diterima daripada majikan serta ahli keluarga tersebut.

Dalam perjanjian, perkhidmatan Derfi sebagai pembantu rumah bermula dengan gaji sebanyak RM600 sebulan dan kenaikan RM50 setiap tahun sehingga terakhir bergaji RM1,100, tetapi tidak pernah dibayar termasuk upah sebagai pekerja kedai aksesori.

“Saya berhak menuntut, saya datang dari jauh tinggalkan keluarga di Indonesia untuk bekerja untuk mereka tetapi majikan langsung tidak menghiraukan perasaan saya. Saya bukan meminta dilayan sebagai raja, tetapi hargailah saya sebagai seorang manusia, bukan binatang,” katanya.

Derfi diwakili peguam Alias Ibrahim, manakala defendan diwakili peguam Tara Singh Delip Singh.

Perbicaraan turut dihadiri Setiausaha Kedua Konsulat KBRI, Ardina Desnita Tinaor.

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here