PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional mengadakan program menu sihat perpaduan secara serentak di semua tabika perpaduan dan taska genius perpaduan seluruh negara.
Menurut kenyataan media, program menu sihat ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan serta kefahaman kanak-kanak, ibu bapa dan masyarakat mengenai kepentingan pengamalan menu sihat dalam kehidupan seharian.
Selain itu, ianya juga dapat meningkatkan kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat mengenai penyediaan menu sihat yang bernutrisi serta pengamalan gaya hidup dan budaya pemakanan sihat.
Pelbagai pengisian yang dirangka untuk memastikan amalan pemakanan sihat dapat diterapkan kepada kanak-kanak bagi mengurangkan empat kesan malnutrisi di kalangan kanak-kanak iaitu kurang berat badan, terbantut, tersusut dan berat badan berlebihan atau obesiti.
Program ini turut menyokong kepada Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang menjadi inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu menjadikan rakyat malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran.
Kementerian berharap program ini dapat dijadikan sebagai pemangkin kepada peningkatan kualiti dan pengamalan pengambilan makanan yang sihat yang harus dipupuk dari rumah dan sejak peringkat awal usia kanak-kanak supaya ia menjadi satu tabiat sepanjang hayat.
Hal ini penting sebagai dorongan kepada kanak-kanak menjalani kehidupan secara seimbang dan seterusnya memberi pendedahan awal kepada mereka mengenai amalan gaya hidup sihat serta pengetahuan pemilihan makanan seimbang.
Pelaksanaan program ini melibatkan guru, penolong guru, pendidik, pembantu pendidik, ibu bapa, jawatankuasa penyelaras tabika perpaduan dan taska genius perpaduan serta masyarakat setempat dengan kerjasama jabatan kesihatan negeri.
Program ini membabitkan 1,781 tabika perpaduan dengan jumlah murid seramai 36,874 orang dan 41 taska genius perpaduan dengan jumlah kanak-kanak seramai 980 orang.
Sumber Kementerian Perpaduan Negara
Imedikel TV






