LONDON: Mauricio Pochettino bersedia berdepan “risiko” terhadap reputasinya di kelab bermasalah Chelsea namun bos baharu The Blues itu tidak bercadang untuk membawa Harry Kane.
Kane dikaitkan dengan perpindahan dari bekas kelab Pochettino, Tottenham dan peralihan ke Stamford Bridge mungkin sesuai dengan kedua-dua pihak.
Pochettino memerlukan seorang penyerang bertaraf dunia untuk memperbaiki rekod hambar jaringan gol kelab itu musim lalu dan kapten England, Kane nyata boleh memenuhi keperluan itu.
Penjaring gol terbanyak Tottenham, yang menyerlah di bawah kendalian Pochettino, berminat untuk meninggalkan kelab utara London itu selepas gagal dalam usahanya untuk berpindah ke Manchester City dua tahun lalu.
Dikaitkan dengan Bayern Munich dan Manchester United, kontrak Kane di Tottenham berakhir tahun depan, meningkatkan keperluan mendesak untuk menyelesaikan masa depannya.
Bagaimanapun, pengerusi Tottenham Daniel Levy mungkin enggan menjual Kane ke kelab London yang kini diurus oleh pengendali yang dipecatnya pada 2019.
Bercakap pada sidang akhbar pertamanya bersama Chelsea pada Jumaat, Pochettino jelas terkejut apabila ditanya sama ada beliau cuba untuk membawa Kane ke Stamford Bridge.
“Tidak, saya tidak suka bercakap mengenai pemain di kelab lain, tetapi anda bercakap mengenai seorang daripada yang terhebat, seorang daripada penyerang terbaik di dunia,” katanya.
“Tidak adil untuk bercakap mengenainya. Peminat tidak bodoh, mereka terlalu bijak dan mereka tahu hubungan saya dengannya amat mengagumkan.
“Saya memantaunya sejak dia remaja, melihat perkembangannya yang meraih pelbagai rekod dan sudah tentu kami mempunyai hubungan yang hebat.
“Ketika ini kami berfikir dengan cara berbeza. Kami tidak memikirkan mengenainya (Kane).”
Sumber BH Online
Sumber AFP
Imedikel TV






