Home Buletin Semasa TIGA BERANAK UKIR SENYUMAN, KONGSI PENTAS KONVOKESYEN BERSAMA

TIGA BERANAK UKIR SENYUMAN, KONGSI PENTAS KONVOKESYEN BERSAMA

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Bukan satu, tetapi tiga skrol digenggam sebuah keluarga apabila pasangan suami isteri bersama anak lelaki mereka diraikan sebagai graduan pada pentas sama sempena Upacara Konvokesyen Ke-64 Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Detik penuh bermakna itu dilalui Abdul Mu’izz Abdul Aziz, dan isterinya Sarina Razak, masing-masing berusia 48 tahun serta anak sulung mereka, Ammar Fa’iz Abdul Mu’izz, 23, yang masing-masing menerima skrol daripada Pro-Canselor USM, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussain.

Abdul Mu’izz dan Sarina menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Pengurusan Profesional, manakala Ammar Fa’iz pula menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan.

Bagi Sarina, peluang bergraduasi bersama suami dan anak menjadi kenangan paling bermakna selepas melalui perjalanan panjang dalam menuntut ilmu.

Katanya, kejayaan itu bukan hanya pencapaian akademik, malah simbol kekuatan keluarga yang saling menyokong antara satu sama lain.

“Detik ini tidak akan dilupakan kerana kami sekeluarga melalui pelbagai pengalaman untuk mencapai kejayaan ini.

“Dapat berkongsi pentas bersama suami dan anak adalah pengalaman yang sangat bermakna buat saya,” katanya.

Menurutnya, pengajian yang dilalui turut memberi manfaat dalam perkembangan kerjaya apabila membantu memperkukuh kemahiran serta membentuk pemikiran lebih dinamik dalam melaksanakan tanggungjawab.

Sementara itu, Ammar Fa’iz menyifatkan kejayaan bergraduasi bersama ibu bapanya sebagai hadiah paling istimewa yang tidak mungkin dilupakan.

Katanya, kesungguhan kedua-dua ibu bapanya dalam menimba ilmu menjadi sumber inspirasi untuk dirinya terus berusaha sehingga berjaya menamatkan pengajian.

“Saya bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan rezeki untuk bergraduasi bersama ayah dan ibu. Ini kenangan yang akan saya bawa sepanjang hayat.

“Ibu dan ayah menjadi sumber inspirasi saya kerana sokongan serta galakan mereka banyak memberi semangat untuk saya menghabiskan pengajian,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Mu’izz berkata, proses menuntut ilmu tidak seharusnya terhenti selepas seseorang memasuki alam pekerjaan kerana pembelajaran sepanjang hayat mampu membuka perspektif baharu.

Menurutnya, pengalaman bekerja dan ilmu yang diperoleh melalui pengajian saling melengkapi dalam membentuk individu yang lebih berpengetahuan serta bersedia menghadapi cabaran semasa.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here