GENEVA: Pertempuran tercetus antara pihak polis dan penunjuk perasaan pada Sabtu semasa demonstrasi membantah satu majlis jamuan di Bandar Biarritz, barat daya Perancis, mengakibatkan beberapa anggota polis cedera termasuk seorang parah, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.
Memetik laporan Bernama menerusi Berita Harian, Ratusan individu berhimpun susulan seruan lebih 30 kesatuan sekerja, persatuan dan kumpulan lain bagi membantah acara yang dianjurkan oleh Canon Francais, menurut Le Journal des Francais.
Penunjuk perasaan cuba menghalang tetamu daripada memasuki lokasi majlis dengan mendakwa syarikat itu mempromosikan fahaman berhaluan kanan melampau, tuduhan yang dinafikan pihak penganjur.
Ketegangan memuncak apabila tetamu majlis berkenaan cuba melepasi sekatan berkenaan sehingga memaksa pihak polis melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan dan membuka laluan ke lokasi acara.
Bercakap kepada stesen penyiar BFMTV, wakil kebangsaan kesatuan polis Unite, Mickael Dequin berkata seorang anggota cedera akibat senjata tajam dan dikejarkan ke hospital, sambil menambah bahawa beberapa anggota lain turut mengalami kecederaan.
Beberapa tangkapan turut dibuat semasa campur tangan pihak polis.
Meskipun berdepan sekatan, kira-kira 900 tetamu berjaya tiba di lokasi majlis menjelang tengah hari, menurut pihak penganjur. – BERNAMA, BH Online –
IMedikelTV






