Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Empat lelaki mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dan berurusan dengan 7,650 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi tanpa kebenaran sah dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, di sini, pada Rabu.
Kesemua tertuduh yang terdiri daripada pemandu lori, kelindan lori, pemilik lori dan adik kepada pemilik lori itu berdepan empat pertuduhan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 serta Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi laman rasminya, kesalahan itu membabitkan pemilikan dan kawalan minyak masak bersubsidi seberat 1,870 kg yang ditemukan di hadapan sebuah rumah di Kampung Teluk Rawa, Labok, Machang.
Sebanyak 5,780 kg lagi ditemukan di dalam sebuah lori dalam kejadian pada 18 November lalu.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan kesemua mereka telah membayar jaminan berkenaan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 28 Disember depan bagi mendapatkan laporan kimia.
Dalam pada itu, KPDN Kelantan menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras penyelewengan barang kawalan, selain memastikan bekalan bersubsidi tidak disalahgunakan atau diseleweng untuk kepentingan pihak tertentu.
Orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan menerusi saluran aduan rasmi KPDN.
IMedikel TV






