Kejayaan dalam bidang seni bukan alasan untuk berhenti menuntut ilmu. Sebaliknya, pengalaman yang dikumpul selama puluhan tahun menjadi pemangkin kepada tiga anak seni tanah air untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang akademik.
Itulah yang dibuktikan penyanyi Tomok, Anis Suraya dan pelakon veteran Zulkifli Ismail apabila berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan pada Majlis Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Ke-28.
Lebih membanggakan, kejayaan ketiga-tiga selebriti itu diperoleh menerusi laluan APEL.Q, sekali gus membuktikan pengalaman profesional yang luas turut mempunyai nilai dalam dunia pendidikan.
Bagi Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 42, keputusan menyambung pengajian bukan sekadar untuk mendapatkan kelayakan akademik, sebaliknya didorong hasrat berkongsi pengalaman selama 25 tahun dalam industri muzik.
Beliau berkata, pengalaman yang dikumpul sepanjang perjalanan seninya boleh dijadikan panduan dan manfaat kepada generasi baharu yang berminat untuk menceburi bidang muzik.
“Saya merasakan pengalaman selama 25 tahun dalam industri muzik boleh dijadikan sebagai panduan yang harus dikongsikan kepada orang ramai yang berminat dengan industri ini.
“Di samping itu, saya juga ingin mengukuhkan kedudukan dan keseimbangan dalam bidang akademik supaya pengalaman penggiat seni turut dihargai sebagai satu bentuk pembelajaran,” katanya.
Sementara itu, penyanyi Anis Suraya, 45, melihat pengajian di peringkat sarjana sebagai peluang untuk memperluas keupayaan intelektual selain mengukuhkan hubungan antara pengalaman profesional dengan pengetahuan akademik.
Pengalaman menggalas tanggungjawab sebagai pensyarah sambilan bagi kursus Seni Suara di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sejak 2018 turut menjadi antara pendorong beliau untuk terus mendalami bidang berkenaan.
“Dorongan utama saya bukan semata-mata untuk memperoleh ijazah tetapi untuk memperluas keupayaan intelektual dan memperkukuh hubungan antara amalan profesional dengan pengetahuan akademik,” katanya.
Tidak kurang hebatnya, pelakon veteran Zulkifli Ismail yang berjaya memperoleh ijazah sarjana pada usia 63 tahun.
Dengan pengalaman kira-kira empat dekad dalam industri lakonan serta penglibatan dalam lebih 300 produksi, kejayaan itu membuktikan bahawa usia dan pengalaman bukan penghalang untuk seseorang terus menimba ilmu.
Pencapaian tiga anak seni berkenaan bukan sahaja menjadi kebanggaan dalam perjalanan kerjaya masing-masing, malah membawa mesej bahawa peluang untuk menuntut ilmu sentiasa terbuka tanpa mengira usia mahupun latar belakang pekerjaan.
Sesungguhnya, kejayaan mereka menjadi inspirasi bahawa impian untuk melanjutkan pelajaran tidak seharusnya terhenti hanya kerana seseorang sudah mempunyai kerjaya yang kukuh.
IMedikel TV






