Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Penyertaan sebanyak 168 pasukan remaja pada Kejohanan Kuantan 7s Hockey Challenge 2026 bukti sukan hoki kini semakin mendapat tempat golongan terbabit.
Ini ditegaskan bekas pemain hoki kebangsaan, Ismail Abu yang melihat remaja peringkat sekolah menengah kini terus aktif dalam sukan hoki apabila mendapat sokongan keluarga.
Buktinya pada Kejohanan Kuantan 7s Hockey Challenge 2026 anjuran Persatuan Hoki Daerah Kuantan di Stadium Hoki Wisma Belia, di sini kelmarin, sebanyak 168 pasukan remaja lelaki dan perempuan bawah umur 12, 15 dan 18 tahun bersaing dengan penuh semangat.

Selain tuan rumah turut bersaing pasukan dari Terengganu, Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Perak dan Negeri Sembilan. Setiap negeri menghantar beberapa pasukan sebagai usaha memberi pendedahan pada pemain muda.
Ismail berkata, dia tidak menyangka kejohanan memasuki musim ke sembilan itu mendapat sambutan yang begitu menggalakan, persembahan dipamerkan pemain tidak kurang hebatnya.
Menurutnya, kehadiran ramai pemain remaja membuktikan negara tidak ketandusan pemain hoki peringatan bawah umur. Hampir setiap negeri mempunyai sekolah sukan dan kelab hoki yang diujudkan untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti.

“Saya dapat lihat terdapat ramai pemain lelaki dan wanita yang bersaing pada kejohanan berkenaan memiliki kemahiran yang boleh diketengahkan sekiranya terus menerus diberi pendedahan oleh jurulatih.
“Masa depan sukan hoki negara diharap terus bersinar dengan adanya barisan pemain muda berbakat yang disokong oleh persatuan hoki negeri,” katanya, di sini semalam.
Beliau menambah, untuk menghasilkan pemain muda berbakat lebih banyak kejohanan peringkat daerah, negeri dan kebangsaan diadakan setiap tahun. Pada masa sama kelab hoki perlu turut sama mengadakan pertandingan.
Ismai berkata, pembangunan sukan hoki di Pahang antara yang berjaya di negara ini, Sekolah Sukan Pahang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh telah berjaya menghasilkan ramai pemain remaja berbakat buktinya pasukan lelaki dan wanita meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
IMedikel TV






