KUALA LUMPUR: Selepas dua dekad bergelar anak seni, vokalis kumpulan Estranged, Rich Gimbang mengambil keputusan tidak lagi menyertai program realiti nyanyian.
Memetik laporan Berita Harian, Rich yang pernah menyertai musim keempat Akademi Fantasia (AF4) pada 2006 memberitahu, pengalaman menyertai program berkenaan sudah banyak mengajarnya mengenai selok-belok industri muzik tanah air.
Biarpun pernah menerima tawaran menyertai Gegar Vaganza (GV), Rich atau nama sebenar, Richael Lawrence Gimbang, 44, menolak peluang itu selepas berbincang dan mencapai persetujuan bersama anggota Estranged.
“Tahun lalu, saya dapat tawaran menyertai GV, tetapi, menolaknya selepas berbincang dengan anggota kumpulan. Kami bersetuju bahawa saya tidak perlu lagi menyertai program realiti. Cukuplah setakat ini.
“Ramai juga rakan bertanya mengapa saya tidak sertai edisi terbaharu GV, iaitu Gegar Vaganza Fantasi (GVF). Saya beritahu mereka, saya memang tidak mahu lagi menyertai program realiti.
“Selepas 20 tahun bergelar anak seni, saya tidak fikir perlu sertai satu lagi program realiti untuk membuktikan sesuatu,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran single solo pertamanya, Mean To Me di sini, hari ini.
Penyanyi kelahiran Tambunan, Sabah itu berkata, hubungannya dengan juri GV sudah terjalin sebagai rakan industri muzik, sekaligus membolehkan mereka berinteraksi tanpa perlu berada dalam suasana pertandingan.
“Individu seperti Datuk Syafinaz Selamat dan barisan juri lain sudah menjadi rakan serta kenalan saya dalam industri muzik.
“Kami bertemu di studio rakaman atau pelbagai acara seni. Saya boleh berkongsi dengan mereka mengenai lagu baharu dan perkembangan kerjaya.
“Jadi, saya tidak fikir perlu lagi berada dalam situasi mereka menilai saya sebagai peserta pertandingan,” katanya.
Mengulas pengalaman menyertai program realiti bersama Estranged menerusi Versus pada 2013, Rich mengakui pengalaman itu memberi perspektif berbeza sehingga membuatkan mereka menilai semula keputusan menyertai program seumpamanya.
Bagaimanapun, Rich percaya setiap penyanyi mempunyai alasan tersendiri untuk menerima tawaran menyertai program realiti termasuk GV.
“Selepas menyertai Versus, kami pernah terfikir sama ada keputusan itu tepat atau sebaliknya.
“Saya rasa rakan artis yang menyertai GV ketika ini mungkin juga pernah memikirkan perkara sama, apatah lagi apabila perlu berdepan pelbagai komen dan kritikan juri.
“Namun, mereka mungkin mempunyai sebab tersendiri, sama ada kerana sudah lama tidak aktif, tawaran bayaran lumayan atau peluang mendapatkan lebih banyak promosi dan pendedahan menerusi televisyen (TV),” katanya.
Mengulas lanjut, Rich berkata, pengalamannya menyertai beberapa program realiti sebelum ini turut membuatkan dia memahami strategi serta selok-belok pertandingan.
“Sebenarnya, saya sudah belajar perkara itu sejak sertai AF. Selepas itu, saya sertai Mania! pada 2012 walaupun sudah mengetahui strategi program seperti itu.
“Jadi, saya rasa cukuplah. Tidak perlu lagi sertai program realiti,” katanya.
Sehubungan itu, Rich mahu memberikan tumpuan kepada usaha mengembangkan kerjaya menerusi platform sendiri, selain memanfaatkan peluang yang ada bagi memastikan karya terbaharunya mendapat perhatian.
“Selepas ini, saya mahu guna platform sendiri, termasuk peluang bertemu pihak media seperti hari ini, untuk membina kehadiran lebih kukuh dalam industri muzik.
“Saya akan bekerja lebih keras untuk memastikan muzik dan karya saya mendapat lebih banyak pendedahan. Saya mahu terus berusaha semampu mungkin,” katanya. – BH Online –
IMedikelTV






