Home Buletin Semasa TANGISAN DI TENGAH LADANG GETAH BAWA KEPADA PENEMUAN MUHAMMAD IRSYAD

TANGISAN DI TENGAH LADANG GETAH BAWA KEPADA PENEMUAN MUHAMMAD IRSYAD

Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV

KUALA KRAI: Suara tangisan yang kedengaran dari kawasan semak di ladang getah membawa kepada penemuan kanak-kanak lelaki, Muhammad Irsyad Hakim Mohammad Khairul Najmi, yang dilaporkan hilang sejak petang semalam.

Penoreh getah, Mohamed Fadhli Sudin, 41, berkata dia tidak menyangka bunyi tangisan yang didengarinya ketika berehat selepas menebas semak pada pukul 10.33 pagi hari ini merupakan petunjuk kepada lokasi kanak-kanak berusia setahun lapan bulan itu.

Menurutnya, pada awalnya dia menyangka suara berkenaan hanyalah bunyi biasa sebelum tangisan itu kedengaran lebih kuat dari arah hutan.

“Saya kemudian cuba menjejaki arah suara itu sebelum terkejut apabila menemui seorang kanak-kanak lelaki yang hanya memakai lampin pakai buang dalam keadaan lemah dan keletihan,” katanya ketika ditemui di Kampung Bechah Salak, di sini, hari ini.

Mohamed Fadhli berkata, dia memang mengetahui mengenai kehilangan kanak-kanak berkenaan dan turut serta dalam usaha pencarian sejak malam sebelumnya.

“Kira-kira setengah jam selepas tiba di kawasan kebun pada pagi hari ini, tangisan yang didengarinya sekali lagi menarik perhatian sebelum dia membuat keputusan untuk mencari puncanya.

“Kanak-kanak itu menangis dan menyebut mahu bapanya. Saya terus mengangkat dan mendukungnya keluar dari kawasan semak sebelum memaklumkan kepada pasukan penyelamat,” katanya.

Tambahnya, mangsa kanak-kanak terbabit ditemui dalam keadaan tidak berpakaian selain hanya memakai lampin pakai buang yang dipenuhi lumpur.

Mohamed Fadhli turut mendapati terdapat kesan darah pada kaki kanak-kanak itu yang dipercayai akibat gigitan pacat serta beberapa kesan gigitan nyamuk pada badan dan belakang mangsa.

Selepas menemukan kanak-kanak itu, Mohamed Fadhli berjalan keluar dari kawasan ladang sambil menjerit memaklumkan kepada penduduk serta pasukan penyelamat bahawa Muhammad Irsyad telah ditemui dalam keadaan selamat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here