JAKARTA: Proses pengecaman mangsa kebakaran di kilang gula-gula PT Fonusa Agung Mulia (PT FAM) di Cikande akan dilakukan menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan keadaan fizikal mereka yang tidak dapat dikenal pasti, susulan penemuan 24 beg mayat kelmarin.
Memetik laporan berita ANTARA menerusi Berita Harian, Ketua Polis Daerah Banten, Irjen Pol Hendra Kurniawan, berkata pasukan Identifikasi Mangsa Bencana (DVI), Markas Besar Polis Indonesia memaklumkan, satu-satunya kaedah pengecaman ialah melalui padanan sampel DNA ahli keluarga dengan bahagian tubuh yang ditemukan dalam kebakaran berlaku di wilayah Banten, Pulau Jawa itu.
Menurut beliau, setiap beg mayat berkemungkinan mengandungi lebih daripada satu bahagian tubuh kerana kedudukan mangsa yang bertindih, sekali gus memerlukan masa untuk diasingkan dan dikenal pasti.
“Mangsa tidak dapat dikenali secara fizikal, oleh itu pasukan DVI memaklumkan satu-satunya cara ialah menjalankan ujian DNA,” katanya ketika ditemui media semalam.
Setakat ini, sebanyak tujuh beg mayat dihantar ke Hospital Bhayangkara Polda Banten bagi menjalani proses pengecaman.
Sementara itu, berdasarkan maklumat bahagian sumber manusia syarikat terbabit, kira-kira 50 pekerja masih hilang, ia meningkat berbanding laporan awal iaitu sekitar 30 orang.
Hendra menambah, jumlah mangsa yang terbabit sentiasa dikemas kini dengan mengambil kira pertukaran syif kerja serta kemungkinan terdapat pekerja yang sepatutnya sudah pulang tetapi masih berada di kilang.
Pihak polis turut menzahirkan rasa simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa atas tragedi terbabit.
Dari sudut operasi di lokasi kejadian, kewujudan sumber tenaga di dalam kilang menyebabkan kerja pemadaman dan penyejukan mengambil masa yang agak lama.
Anggota penyelamat perlu memastikan api benar-benar padam serta suhu di kawasan berkenaan menurun sebelum masuk menjalankan kerja menyelamat.
“Jika kami meluru masuk buat masa ini, keadaannya masih agak berbahaya kerana dikhuatiri bangunan itu runtuh.
“Ini memandangkan struktur premis yang ada dua tingkat dua,”katanya.
Hendra menegaskan, keutamaan ketika ini ialah mengeluarkan serta mengecam semua mangsa dengan sokongan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Basarnas, pihak berkuasa daerah dan pasukan bomba.
Laporan awal menunjukkan kebakaran itu berkemungkinan berpunca daripada litar pintas pada penghawa dingin.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kilang berkenaan, Steven Erwin Wijaya, sebelum ini berkata kira-kira 300 orang berada di kompleks kilang itu ketika syif pada Sabtu.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Banten, Al Amrad, pula berkata operasi mencari dan menyelamat diteruskan, namun beberapa titik panas kebakaran yang masih aktif serta struktur bangunan yang semakin tidak stabil menimbulkan risiko keselamatan kepada pasukan penyelamat, menurut
Katanya, 29 orang disahkan selamat, dengan lima daripadanya dimasukkan ke hospital.
Pasukan penyelamat setakat ini telah mengeluarkan 24 beg mayat yang mengandungi cebisan anggota badan, namun pihak berkuasa di lokasi kejadian belum dapat mengesahkan jumlah sebenar korban dengan segera,
Usaha mengumpul sampel DNA daripada ahli keluarga mangsa sedang dilakukan dan proses itu mungkin mengambil masa beberapa minggu, katanya. – AGENSI, BH Online –
IMedikelTV






