Home Luar Negara LEBIH 100 JUTA KETAM ‘LINTAS’ JALAN RAYA PULAU CHRISTMAS

LEBIH 100 JUTA KETAM ‘LINTAS’ JALAN RAYA PULAU CHRISTMAS

SYDNEY: Kehadiran musim hujan di Pulau Christmas, wilayah terpencil Australia di Lautan Hindi, sekali lagi mencetuskan fenomena alam luar biasa apabila lebih 100 juta ketam merah keluar dari hutan menuju ke pesisir pantai untuk membiak.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Pergerakan serentak spesies krustasia itu mengakibatkan laluan pejalan kaki dan jalan raya di sekitar pulau berkenaan seakan-akan bertukar menjadi ‘permaidani merah’, sekali gus memukau pelancong serta pencinta alam sekitar dari serata dunia.

Bagi mengelakkan haiwan berkenaan mati digilis kenderaan sepanjang perjalanan ke laut, pihak berkuasa taman negara dan badan pemuliharaan tempatan melaksanakan pelan perlindungan yang dirangka sejak beberapa bulan lalu. 

Usaha pemuliharaan itu merangkumi penutupan sementara laluan utama, pemasangan penghadang khas di tepi jalan serta pembinaan laluan alternatif seperti terowong bawah tanah dan jejambat khas untuk kemudahan haiwan terbabit melintas dengan selamat.

Dari segi geografi, pulau kecil ini berada pada kedudukan kira-kira 350 kilometer di selatan Indonesia dan lebih 1,000 kilometer dari tanah besar Australia.

Mengikut kitaran hidup spesies ini, ketam betina akan melepaskan jutaan telur ke dalam laut sejurus selesai proses mengawan di pantai sebelum berundur semula ke kawasan hutan.

Anak ketam yang menetas pula akan membesar di laut melalui beberapa fasa sebelum merangkak naik ke daratan beberapa minggu kemudian.

Keunikan penghijrahan tahunan yang menjadi nadi penting keseimbangan ekologi Pulau Christmas itu terus diiktiraf sebagai antara keajaiban hidupan liar paling ikonik di dunia serta bukti komitmen Australia dalam memelihara kepelbagaian biodiversitinya. – AGENSI, BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here