Home Buletin Semasa 137 BAUNG EKOR MERAH DITAWAN, 1,046.66KG DIREKODKAN DI TUJUH LOKASI PAHANG

137 BAUNG EKOR MERAH DITAWAN, 1,046.66KG DIREKODKAN DI TUJUH LOKASI PAHANG

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

TEMERLOH: Sebanyak 137 ekor ikan baung ekor merah dengan berat keseluruhan 1,046.66 kilogram (kg) berjaya ditangkap menerusi program Pahang 1st Tawan Baung Ekor Merah Fest yang berlangsung di tujuh lokasi membabitkan lima daerah di Pahang.

Program itu disertai 1,110 peserta di daerah Pekan, Maran, Jerantut, Temerloh dan Lipis, sekali gus memperlihatkan penglibatan aktif komuniti pemancing dalam usaha mengawal populasi spesies ikan asing invasif berkenaan.

Tanjung Gahai, Lipis mencatatkan tangkapan ikan paling berat dengan 193.50kg menerusi 16 ekor, diikuti Pekan sebanyak 191.44kg (23 ekor) dan Kuala Krau dengan 182.38kg (30 ekor).

Bagi kategori ikan terberat, Tanjung Gahai muncul juara menerusi tangkapan seberat 23.32kg oleh Muhamad Fauzi Ahmad.

Tempat kedua dimenangi Kampung Ganding dengan catatan 20.96kg, manakala Pekan menduduki tempat ketiga menerusi tangkapan seberat 20.86kg.

Turut merekodkan tangkapan ikan terberat ialah Kuala Krau (19.38kg), Kampung Bangau, Temerloh (15.76kg), Jerantut Feri (15.14kg) dan Chenor, Maran (12.22kg).

Sementara itu, bagi kategori ikan terbanyak, Kuala Krau mendahului dengan 30 ekor seberat 182.38kg, diikuti Jerantut Feri dengan 27 ekor seberat 153.48kg dan Pekan sebanyak 23 ekor seberat 191.44kg.

Tanjung Gahai dan Kampung Bangau masing-masing merekodkan 16 ekor, manakala Kampung Ganding mencatatkan 13 ekor dan Chenor sebanyak 12 ekor.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain, dengan turut dihadiri Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Roslan Abu Hasan.

Menurut Adnan, program yang dianjurkan sempena Hari Perikanan Sedunia 2026 pada 21 November lalu itu merupakan inisiatif kerjasama strategik antara kerajaan Pahang, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Majlis Belia Negeri Pahang.

Katanya, program berkenaan bertujuan mengawal serta mengurangkan populasi baung ekor merah yang berpotensi mengancam keseimbangan ekosistem perairan darat dan kelangsungan spesies ikan tempatan.

“Penganjuran program ini mencerminkan komitmen bersama kerajaan negeri dan masyarakat dalam menangani ancaman spesies ikan asing invasif melalui penglibatan aktif komuniti pemancing dan golongan belia.

“Pendekatan ini memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan populasi baung ekor merah selain meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan melindungi biodiversiti dan memelihara kelestarian sumber perikanan darat,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan 1,110 pemancing di tujuh lokasi membuktikan komuniti mempunyai peranan penting dalam membantu kerajaan menangani ancaman spesies ikan asing invasif.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here