Oleh Wartawan IMedikel TV
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor memperuntukkan kira-kira RM3.8 juta bagi meneruskan perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) secara percuma kepada rakyat negeri itu pada 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, peruntukan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 35,000 pesakit, dengan sasaran meningkatkan penggunaan perkhidmatan berkenaan kepada 1,000 pesakit sebulan.
Katanya Pembiayaan UMP telah bermula pada 2021 dimana pada ketika itu kos parcel dibayar sendiri oleh pesakit melibatkan 87,550 parcel iaitu purata 7,296 parcel sebulan.
“Johor telah menanggung kos bagi UMP secara percuma ini bermula 1 Ogos 2024 dan sehingga kini.
“Sepanjang tempoh itu sebanyak 504,294 parcel telah dibiayai secara percuma oleh Kerajaan Negeri Johor yang telah memanfaatkan 101,035 pesakit.
“Pada tahun 2026, dari 1 Januari sehingga 30 September 2026, jumlah pembiayaan Kerajaan Negeri Johor bagi perkhidmatan UMP kepada Bangsa Johor adalah sebanyak RM 1.34 juta.
“Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih inisiatif UMP secara percuma ini bermula bulan Oktober 2026,”katanya
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ramlee Bohani (BN Kempas) berhubung penjimatan peruntukan kerajaan negeri hasil pengambilalihan pembiayaan UMP oleh Kerajaan Persekutuan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Menurut Tian Soon, baki peruntukan akaun amanah bagi perkhidmatan UMP adalah sebanyak RM 838,910.80.
Katanya daripada nilai ini, sebanyak RM 49,500 telah dikhaskan untuk Perkhidmatan Penghantaran Ubat Rangkaian Sejuk Melalui Pos Secara Same Day Delivery.
“Ia satu inisiatif baru yang dibiayai oleh kerajaan negeri bagi membolehkan pesakit-pesakit dengan ubat rangkaian sejuk menikmati perkhidmatan penghantaran ubat ke rumah.
“Perkhidmatan ini baru dimulakan pada bulan September 2026, dan pada peringkat awal ini melibatkan enam fasiliti kesihatan di dalam daerah Johor Bahru iaitu Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail, Hospital Pasir Gudang, Klinik Kesihatan Bukit Indah, Klinik Kesihatan Kempas dan Klinik Kesihatan Pasir Gudang.
“Pada bulan September 2026, seramai 28 orang pesakit telah mendapat manfaat dari perkhidmatan ini dengan kos RM420, dan seterusnya seramai 74 orang pesakit mendapat manfaat perkhidmatan ini pada bulan Oktober 2026 dengan kos penghantaran RM1,110,”katanya.
Jelas Tian Soon baki peruntukan pembiayaan perkhidmatan UMP akan digunakan untuk membiayai perkhidmatan baru ini yang akan terus memberikan manfaat kepada Bangsa Johor.
Katanya Kerajaan Pusat melalui Kementerian Komunikasi telah mengumumkan bahawa mereka akan menanggung keseluruhan kos UMP bermula 1 Julai 2026 ini ke seluruh Malaysia pada 15 Jun 2026.
“Namun tanggungan tersebut hanya bermula pada 1 Oktober 2026, dalam pengumuman oleh Kementerian Komunikasi ini juga tidak dinyatakan tanggungan tersebut akan berlangsung berapa lama.
“Oleh kerana tidak ada ‘timeline’ yang jelas yang dinyatakan oleh mereka atau wakil wakil Kerajaan Pusat.
“Kerajaan Johor tetap meneruskan inisiatif ini kerana tidak mahu memperjudikan nasib Bangsa Johor, lebih lebih lagi ianya melibatkan isu isu Kesihatan, Kerajaan Maju Johor komited untuk membela nasib dan kebahagiaan Bangsa Johor,”katanya.
IMedikel TV






