Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
SHAH ALAM: Seramai 489 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam pelaksanaan Ops Mega di Jalan Makmur 25/64, Taman Sri Muda, di sini, kira-kira pukul 11.00 pagi semalam
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, operasi berkenaan dilaksanakan hasil aduan awam serta risikan selama tiga minggu.
“Pemeriksaan dijalankan di 26 blok bangunan dengan seramai 831 individu diperiksa.
“Daripada jumlah itu, 489 warga asing terdiri daripada 405 lelaki dan 84 wanita ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Hadir sama Pemangku Pengarah Imigresen Negeri Selangor, Mohmad Khusairi Kamarudin dan Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Selangor (Pengurusan), Redman Safar.
Sementara itu, beliau berkata baki 342 individu dibebaskan selepas pemeriksaan mendapati mereka memiliki permit kerja atau kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah.
“Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, JIM Selangor terus mengingatkan majikan supaya memastikan pengambilan pekerja asing dibuat mengikut saluran yang sah.
“Majikan yang didapati menggaji pekerja asing tanpa pas yang sah boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
JIM Selangor turut menghargai kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa serta keprihatinan masyarakat yang menyalurkan maklumat dan aduan bagi membantu membanteras pelanggaran undang-undang imigresen.
Operasi itu membabitkan seramai 254 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa, termasuk 143 pegawai dan anggota JIM Selangor serta 111 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi
Antidadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
IMedikel TV






