Home Buletin Semasa ECRL: MEDIA PUJI KESELESAAN, PERJALANAN KOTA BHARU-GOMBAK LEBIH MUDAH

ECRL: MEDIA PUJI KESELESAAN, PERJALANAN KOTA BHARU-GOMBAK LEBIH MUDAH

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Perkhidmatan tren Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menawarkan pengalaman perjalanan yang selesa, lancar dan menjimatkan masa, sekali gus menjadi alternatif baharu kepada pengguna khususnya mereka yang kerap berulang-alik antara Kelantan dan Kuala Lumpur.

Perkara itu dikongsikan beberapa pengamal media yang menyertai Program Percubaan Perjalanan Tren Electric Multiple Unit (EMU) ECRL 2026, dari Stesen ECRL Kota Bharu ke Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak, hari ini.

Timbalan Presiden IMedikel, Hasnah Zakaria berkata, pengalaman menaiki tren berkenaan amat memuaskan, terutama dari segi keselesaan tempat duduk yang luas serta pergerakan tren yang stabil sepanjang perjalanan.

Menurutnya, kemudahan seperti tandas, surau dan kafeteria turut memberi nilai tambah kepada pengalaman penumpang.

Beliau berkata, perjalanan ke Kuala Lumpur yang sebelum ini mengambil masa kira-kira lapan jam menerusi jalan raya dijangka lebih mudah dengan ECRL yang menawarkan tempoh perjalanan sekitar empat jam.

“InsyaAllah, saya akan bawa keluarga untuk merasai pengalaman menaiki tren ini. Dengan adanya ECRL, perjalanan ke Kuala Lumpur lebih mudah, selesa dan dapat menjimatkan masa,” katanya.

Sementara itu, wartawan sambilan, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Kota Bharu, Rohaiza Abdul Rahman berkata, pengalaman pertama menaiki ECRL itu memberikan gambaran positif terhadap kemudahan yang disediakan, termasuk tempat duduk yang boleh dipusingkan serta dilengkapi meja untuk penumpang melakukan kerja sepanjang perjalanan.

“Kestabilan tren turut membolehkan penumpang bergerak di dalam gerabak tanpa berasa pening, selain dapat menikmati pemandangan kehijauan sepanjang laluan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kemudahan tandas di setiap gerabak, ruang penyimpanan bagasi yang luas serta susunan tempat duduk sebagai ciri yang sesuai untuk perjalanan bersama keluarga.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan penumpang supaya merancang perjalanan dan tiba di stesen lebih awal bagi memastikan tidak terlepas tren yang bergerak mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya, perkhidmatan itu juga memberi kelebihan kepada golongan perantau dan mereka yang menjalani hubungan jarak jauh (PJJ) kerana memudahkan urusan perjalanan antara Kelantan dan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, wartawan Utusan Malaysia di Kota Bharu, Mustaqim Amir Azuari Mohamed berkata, perjalanan percubaan yang disertainya berjalan lancar dengan pergerakan tren yang stabil dan selesa.

“Tempat duduk yang boleh dipusingkan serta layanan kru sepanjang perjalanan turut menambah keselesaan penumpang,” katanya.

“Tambang yang dicadangkan juga berbaloi berdasarkan pengalaman perjalanan yang lebih pantas dan selesa,”  katanya.

Menurutnya, ECRL juga berpotensi membantu mengurangkan kesesakan jalan raya, khususnya ketika musim perayaan, meskipun kesannya bergantung kepada peningkatan jumlah penduduk dan penggunaan kenderaan.

Bagaimanapun, katanya, penumpang perlu mengambil kira keperluan pengangkutan lain sebaik tiba di destinasi masing-masing.

Secara keseluruhan, ketiga-tiga pengamal media berkenaan memberikan maklum balas positif terhadap pengalaman menaiki tren EMU ECRL, terutama dari aspek keselesaan, kemudahan serta kelancaran perjalanan.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here