Home Buletin Semasa KKM SAHKAN INSIDEN SIBER TIDAK GANGGU SISTEM RAWATAN, PESAKIT BOLEH HADIR JANJI...

KKM SAHKAN INSIDEN SIBER TIDAK GANGGU SISTEM RAWATAN, PESAKIT BOLEH HADIR JANJI TEMU SEPERTI BIASA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan dakwaan insiden keselamatan siber yang dikesan pada 12 November lalu tidak menjejaskan sistem operasi utama kementerian, termasuk perkhidmatan kesihatan dan rawatan pesakit di fasiliti kesihatannya.

KKM dalam kenyataan media memaklumkan semua sistem utama masih beroperasi seperti biasa, sekali gus membolehkan orang ramai meneruskan janji temu kesihatan serta mendapatkan rawatan tanpa sebarang kerisauan.

Menurut KKM, siasatan awal Pasukan Tindak Balas Insiden Keselamatan Komputer (CSIRT) kementerian mendapati insiden berkenaan tidak melibatkan penyulitan sistem (encryption) terhadap pangkalan data utama.

“Sebaliknya, insiden itu didapati terhad kepada akses tanpa kebenaran ke atas satu platform storan dan perkongsian fail sokongan di sebuah fasiliti KKM.

“Sebagai langkah pembendungan segera, capaian awam terhadap platform terbabit telah disekat bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan lanjut.

“KKM turut melaksanakan kawalan keselamatan tambahan di fasiliti terlibat, termasuk penetapan semula kata laluan pengguna, pengauditan pelayan serta penguatkuasaan Pengesahan Pelbagai Faktor (MFA),” menurut KKM.

Dalam pada itu, KKM memaklumkan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) selaras dengan keperluan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) bagi menangani insiden berkenaan.

“Pemantauan berterusan turut dilaksanakan bagi memastikan keselamatan infrastruktur teknologi maklumat kementerian sentiasa terpelihara.

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan,” menurut KKM.

KKM turut memberi amaran bahawa tindakan memuat turun, memiliki atau menyebarkan dokumen rasmi kerajaan yang diperoleh secara tidak sah merupakan satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

KKM menegaskan komitmennya untuk memastikan keselamatan infrastruktur teknologi maklumat serta kerahsiaan data kesihatan rakyat sentiasa dilindungi pada tahap tertinggi.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here