KUALA LUMPUR: Jaringan awal yang diledak China memusnahkan impian Harimau Malaya untuk mencipta kejutan ke atas pasukan ranking ke-96 dunia itu apabila tewas 0-2 dalam aksi persahabatan antarabangsa, malam tadi.
Memetik laporan Berita Harian, China mendahului perlawanan di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre itu seawal minit ke-10 menerusi tandukan Wang Yudong dan kealpaan benteng Harimau Malaya sekali lagi dihukum dengan jaringan Zhang Yuning sembilan minit kemudian.
Ketua jurulatih interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyifatkan jaringan awal yang diperoleh tuan rumah meletakkan Harimau Malaya dalam situasi sukar untuk bangkit.
Pengendali berusia 58 tahun itu menjelaskan, keadaan berkenaan menyebabkan pasukannya terpaksa melakukan beberapa perubahan dalam perancangan asal bagi perlawanan itu.
“Sebagai jurulatih, sudah tentu saya berasa kecewa dengan keputusan ini kerana kami melepaskan dua gol, terutama gol awal yang menyebabkan kami berdepan situasi sukar untuk bangkit.
“Dalam bola sepak, ia menjadi sangat sukar apabila anda ketinggalan dua gol pada awal permainan kerana anda perlu mengubah beberapa perkara dalam pasukan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Kekalahan itu turut menyaksikan badi 46 tahun Malaysia tidak menang ke atas China berterusan dengan kali terakhir Harimau Malaya menewaskan skuad Naga ialah dalam aksi persahabatan pada 1980.
Mengulas lanjut mengenai prestasi keseluruhan, Cheng Hoe tetap memuji barisan pemainnya yang berjaya menampilkan persembahan lebih baik pada babak kedua, namun gagal mengubah keputusan perlawanan.
“Kami membawa masuk dua pemain iaitu Haziq Kutty Abba dan Richard Chin. Kami cuba bermain dengan pendekatan yang lebih menyerang kerana memerlukan jaringan awal pada babak kedua untuk meningkatkan keyakinan sebelum cuba mendapatkan gol penyamaan.
“Pada separuh masa kedua, kami bermain dengan lebih baik. Kami menguasai bola dengan baik dan mencipta lebih banyak peluang,” katanya.
Harimau Malaya yang berada di ranking 133 dunia seterusnya akan menentang pasukan tangga ke-144, Yaman dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa di gelanggang sama, Selasa ini. – BH Online –
IMedikelTV






