Home Buletin Semasa 6 PENGHUNI TERMASUK BAYI SELAMAT DALAM KEBAKARAN TIGA RUMAH

6 PENGHUNI TERMASUK BAYI SELAMAT DALAM KEBAKARAN TIGA RUMAH

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Enam penghuni termasuk seorang bayi berusia enam bulan terselamat dalam kebakaran memusnahkan hampir keseluruhan sebuah rumah dan merosakkan dua lagi kediaman di Kampung Baru Sungai Kecil, Nibong Tebal, di sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis,berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.10 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal bergegas ke lokasi.

Katanya, bantuan turut diberikan BBP Sungai Bakap, BBP Parit Buntar serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Nibong Tebal dan Sungai Jawi.

“Setibanya pasukan pada jam 4.20 pagi, didapati kebakaran membabitkan tiga rumah yang mana rumah pertama didiami seorang wanita mengalami kemusnahan kira-kira 60 peratus.

“Manakala rumah kedua yang dihuni lima sekeluarga iaitu pasangan suami isteri berusia lingkungan 30-an dan 40-an, wanita berusia lingkungan 50-an, seorang bayi perempuan berusia enam bulan serta seorang lagi anak perempuan, mengalami kemusnahan kira-kira 90 peratus yang mana semua dokumen pengenalan diri mereka musnah dalam kebakaran ini.

“Rumah ketiga yang tidak berpenghuni hanya mengalami kerosakan kira-kira satu peratus.,” katanya.

Menurutnya, kesemua penghuni berjaya keluar menyelamatkan diri sebelum ketibaan anggota bomba dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

John Sagun berkata, operasi pemadaman kemudian dijalankan menggunakan konsep RECEO dengan pendekatan ofensif dan defensif sebelum kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.44 pagi.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.20 pagi sebelum anggota menjalankan kerja-kerja pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi punca yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Operasi ditamatkan pada jam 6.44 pagi dan kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran JBPM bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Seramai 23 anggota bomba dengan lima jentera terbabit dalam operasi berkenaan, selain dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta PBS.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here