Home Buletin Semasa PERHILITAN PINDAHKAN GAJAH LIAR DENGAN BANTUAN DUA GAJAH DENAK DI TANAH MERAH

PERHILITAN PINDAHKAN GAJAH LIAR DENGAN BANTUAN DUA GAJAH DENAK DI TANAH MERAH

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

TANAH MERAH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya memindahkan seekor gajah betina liar dengan bantuan dua ekor gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah iaitu Abot dan Sanum pada Selasa.

Gajah liar yang dikenali sebagai Mek Belat itu dipindahkan dari Kampung Bedah, Mukim Batu Gajah di sini sebelum dilepaskan semula ke habitat semula jadi yang lebih sesuai di kawasan hutan simpan taman negara.

Perhilitan dalam satu kenyataan memaklumkan proses tangkapan gajah berkenaan bermula pada 5 November lalu menerusi kaedah pembiusan terkawal sebelum operasi pemindahan dilaksanakan semalam.

Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan berlangsung selama kira-kira tiga jam dan melibatkan seramai 27 kakitangan daripada Perhilitan Kelantan serta PKGK Kuala Gandah.

“Gajah betina ini mempunyai ukuran tapak kaki 13.5 inci dan berada dalam keadaan sihat sepanjang operasi dijalankan,” katanya.

Perhilitan berkata, haiwan berkenaan turut dipantau oleh Pegawai Veterinar bagi memastikan keselamatan serta kebajikannya sepanjang proses pemindahan.

Difahamkan, gajah tersebut dipercayai memasuki kawasan Tanah Merah dari Thailand melalui Sungai Golok sebelum berkeliaran di kawasan penempatan dan pertanian penduduk.

“Kehadirannya dilaporkan menyebabkan kerosakan terhadap beberapa tanaman termasuk pokok kelapa sawit dan getah milik penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

“Penggunaan gajah denak memainkan peranan penting dalam membantu mengawal pergerakan gajah liar sepanjang proses evakuasi dijalankan,” katanya.

Perhilitan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan operasi berkenaan serta menegaskan kerjasama pelbagai agensi penting dalam memastikan usaha pengurusan konflik antara manusia dan hidupan liar dapat dilaksanakan dengan berkesan dan selamat.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here