Home Sukan 38 PASUKAN BERSAING REBUT EMPAT GELARAN NATIONAL 7s 2026 DI KUALA NERUS

38 PASUKAN BERSAING REBUT EMPAT GELARAN NATIONAL 7s 2026 DI KUALA NERUS

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KUALA NERUS: Perebutan empat kejuaraan bakal menjadi taruhan 38 pasukan ragbi tempatan apabila Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2026) membuka tirai di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Jumaat ini.

Kategori Lelaki Terbuka dijangka menjadi antara saingan paling sengit dengan penyertaan 15 pasukan yang akan merebut Piala Amir Amri, menggantikan Piala Ung Khek Cheow yang menjadi rebutan sebelum ini.

Selain itu, lima pasukan akan berentap dalam kategori Wanita Terbuka, manakala saingan Bawah 21 Tahun membabitkan 10 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (Malaysia Rugby) Amir Amri Mohammad berkata, penyandang juara Terbuka Lelaki, Kelantan kekal menjadi tumpuan setelah diundi untuk berada di dalam kumpulan maut bersama Johor selaku naib juara edisi lalu, Selangor dan Pahang yang hadir dengan reputasi besar untuk muncul juara manakala peluang sama rata buat lain-lain pasukan di dalam kumpulan masing-masing.

“Kehadiran beberapa pasukan yang kembali ke pentas National 7s kali ini bakal memberi cabaran berbeza berbanding edisi lalu di mana pencabar-pencabar baru ini dilihat lebih bersedia dengan pemain-pemain muda mereka untuk berentap dalam kategori tumpuan.

“Cuaca tidak menjadi halangan untuk penganjuran ketika ini walaupun Terengganu telah memasuki fasa Monsun Timur Laut namun kami sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan untuk edisi kali ini,” katanya.

Jelasnya lagi fasiliti Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail yang terletak di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus ini merupakan kawasan bebas banjir di mana rata-rata setiap pasukan menginap sekitar kawasan ini maka risiko untuk terkandas sekiranya bencana banjir itu adalah seminimum mungkin.

“Penyertaan tahun ini turut menyaksikan Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kedah kembali bersaing dalam kategori Lelaki Terbuka, manakala Sarawak menarik diri pada saat akhir,” katanya.

Tuan rumah, Terengganu dan Johor merupakan pasukan yang menyertai ke semua kategori yang dipertandingkan pada kali ini.

Sementara itu, Selangor yang mencipta kejutan pada edisi lalu menerusi kejayaan merangkul kejuaraan kategori Wanita Terbuka dan Wanita Bawah 21 Tahun, kali ini hanya mempertaruhkan skuad bawah 21 tahun bagi mempertahankan gelaran, tanpa penyertaan pasukan senior mereka.

Untuk rekod, Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail menjadi lokasi penganjuran National 7s buat tahun ketiga berturut-turut sejak 2024.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here