Home Buletin Semasa JPJ SITA SEMBILAN VAN SEKOLAH, SUAMI ISTERI ANTARA PENGUSAHA BUAT EMPAT TRIP...

JPJ SITA SEMBILAN VAN SEKOLAH, SUAMI ISTERI ANTARA PENGUSAHA BUAT EMPAT TRIP SEHARI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyita sembilan van persendirian yang disalahgunakan sebagai van sekolah tanpa permit sah dalam operasi khas pada 5 November lalu.

Lebih mengejutkan, antara pengusaha yang dikesan turut membabitkan pasangan suami isteri yang mengendalikan perkhidmatan berkenaan dengan melakukan tiga hingga empat perjalanan sehari bagi membawa murid sekolah.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, hasil tindakan penguatkuasaan itu sebanyak 20 notis saman P22 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 18 notis membabitkan kesalahan salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM), manakala dua lagi kerana LKM tamat tempoh.

“Kesemua sembilan van berkenaan disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana digunakan untuk membawa murid sekolah tanpa didaftarkan sebagai kenderaan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Secara keseluruhannya, Ops Kenderaan Perkhidmatan Pengangkutan Awam (KPPA) merekodkan 29 tindakan penguatkuasaan merangkumi 20 notis saman P22 dan sembilan notis sitaan kenderaan,” katanya pada sidang media Ops KPPA dan Ops Patuh sempena perayaan Deepavali 2026.

Mohd Misuari berkata, pihaknya memberi perhatian khusus terhadap aduan orang awam berhubung penggunaan van persendirian untuk membawa murid sekolah susulan kebimbangan terhadap aspek keselamatan penumpang.

Katanya, hasil risikan selama kira-kira tiga bulan mendapati terdapat pengusaha yang menggunakan van persendirian tanpa memenuhi syarat ditetapkan, termasuk aspek lesen, insurans dan permit.

Lebih membimbangkan, katanya, terdapat van yang membawa sehingga 15 murid dalam satu perjalanan, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Beliau berkata, JPJ pada peringkat awal memberi kelonggaran kepada pemilik van yang disita untuk menyelesaikan urusan berkaitan sebelum kenderaan dilepaskan.

Bagaimanapun, tindakan lebih tegas akan diambil sekiranya kesalahan sama berulang, termasuk kemungkinan sitaan lebih serius.

“Kita bukanlah nak menghukum atau mencari kesalahan, sebaliknya mahu mendidik pengusaha supaya mematuhi peraturan.

“Namun, selepas diberikan peluang dan amaran, kita tidak akan berkompromi sekiranya kesalahan sama masih berulang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Ops Patuh sempena Deepavali 2026 dilaksanakan setiap hari dari 7 hingga 13 November ini, bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam dengan tumpuan kepada sembilan kesalahan utama yang berisiko menyebabkan kemalangan.

Bagi memastikan operasi berjalan menyeluruh, JPJ Kelantan menggerakkan 92 anggota dengan kekuatan 23 kenderaan operasi bagi menjalankan pemantauan di 10 koridor atau laluan utama serta 53 lokasi penugasan di seluruh negeri.

Katanya, bagi tempoh dua hari pertama operasi pada 7 dan 8 November, sebanyak 772 kenderaan diperiksa dengan 261 daripadanya dikenakan tindakan penguatkuasaan, manakala sebuah kenderaan disita.

“Sebanyak 334 notis saman P22 turut dikeluarkan selain 216 notis bagi kesalahan lain, menjadikan keseluruhan 550 notis penguatkuasaan direkodkan dalam tempoh berkenaan.

“Antara kesalahan utama dikesan ialah memotong barisan sebanyak sembilan kes, tidak mematuhi garisan berkembar (satu), melanggar lampu isyarat merah (satu), kesalahan berkaitan topi keledar (satu) serta tali pinggang keledar (dua),” katanya.

Beliau berkata, rekod berkenaan adalah bagi dua hari pertama operasi dan bukan statistik keseluruhan Ops Patuh Deepavali 2026 yang dijadualkan berakhir pada 13 November ini.

Mengulas aspek keselamatan jalan raya, Mohd Misuari berkata, Kelantan merekodkan 13,784 kes kemalangan sepanjang 2025, membabitkan 309 kematian dan 113 kecederaan parah berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, JPJ Kelantan turut mengenal pasti lebih 15 lokasi panas berisiko tinggi berlaku kemalangan maut, khususnya di pintu masuk utama negeri termasuk Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Pasir Puteh dan Machang.

Dalam masa sama, PDRM mengenal pasti 42 kawasan kesesakan serta 67 lokasi kerap berlaku kemalangan di seluruh negeri, dengan tumpuan antaranya di Kota Bharu, Kuala Krai, Pasir Mas, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah dan Gua Musang.

Sehubungan itu, beliau berkata, penguatkuasaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan di lokasi strategik serta laluan berisiko tinggi bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan mengamalkan pemanduan berhemah sepanjang musim perayaan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here