Home Buletin Semasa PECAH AMANAH KEDAI PAJAK GADAI RM28.4 JUTA, BEKAS PENGURUS DITAHAN

PECAH AMANAH KEDAI PAJAK GADAI RM28.4 JUTA, BEKAS PENGURUS DITAHAN

Oleh: Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU – Seorang wanita yang juga bekas pengurus kedai pajak gadai di Kota Tinggi dipercayai menjadi dalang kegiatan pecah amanah dan pecah masuk premis berkenaan, yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM28.4 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman berkata, wanita berusia 44 tahun itu antara tujuh individu yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.42 pagi, Jumaat lalu daripada pengurus baharu premis berkenaan yang mula bertugas kira-kira tiga bulan lalu.

“Siasatan awal mendapati kejadian pecah masuk itu dipercayai dirancang bekas pengurus terbabit bagi menutup kegiatan pecah amanah yang dipercayai dilakukannya sejak lima tahun lalu.

“Motif sebenar suspek dipercayai untuk menghapuskan bukti pemalsuan barangan kemas yang digadai menggunakan identiti pemajak palsu.

“Hasil siasatan di lokasi mendapati suspek memecah masuk premis melalui pintu hadapan sebelum melarikan sejumlah barangan kemas dan wang tunai menerusi pintu belakang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Ab Rahaman berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian D4, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Johor menahan lima lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 29 hingga 48 tahun.

Katanya tangkapan dilakukan di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru pada Sabtu dan Ahad lalu.

“Polis turut merampas 2,891 barang kemas pelbagai jenis, wang tunai berjumlah RM27,371, dua keping resit pajak gadai, dua rangkai kunci, dua beg silang serta sebuah telefon bimbit.

“Semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing terhadap semua suspek didapati negatif dadah,” katanya.

Mengulas modus operandi, beliau berkata, suspek dipercayai menggunakan identiti pemajak yang diragui bagi menggadaikan barangan kemas yang disyaki palsu.

Katanya semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai dua rekod lampau, manakala ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek mendapati mereka negatif dadah.

“Empat suspek direman selama tujuh hari bermula 8 hingga 14 November, manakala tiga lagi direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

“Polis turut meragui kewujudan individu yang digunakan sebagai pemajak berikutan tiada nombor pengenalan direkodkan, selain terdapat kelemahan dalam prosedur operasi standard (SOP) proses penggadaian,”katanya.

Dalam perkembangan sama, polis turut menerima laporan berkaitan pemalsuan barangan kemas yang digadai pada 6 Oktober lalu.

Kes pecah amanah disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, manakala kes pecah masuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here