Home Buletin Semasa ADUN KUALA BALAH GERAKKAN PELBAGAI INISIATIF ANCAMAN GAJAH LIAR DI JELI

ADUN KUALA BALAH GERAKKAN PELBAGAI INISIATIF ANCAMAN GAJAH LIAR DI JELI

Oleh: Afrizam Arif @I Medikel TV

JELI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil mengambil pelbagai langkah bagi menangani konflik antara manusia dan gajah liar yang semakin membimbangkan di kawasan Kuala Balah, khususnya sekitar Batu Melintang dan Sungai Long.

Beliau berkata, isu gajah liar kini menjadi antara masalah utama penduduk apabila haiwan berkenaan kerap memasuki kampung serta kawasan pertanian sehingga mengancam keselamatan dan sumber pendapatan penduduk.

“Keadaan ini menyebabkan penduduk berdepan risiko ketika melalui jalan kampung, ke kebun atau menjalankan aktiviti harian apabila gajah liar dilihat turun ke kawasan penempatan pada bila-bila masa termasuk pada waktu siang.

“Jadi saya mengambil inisiatif mengadakan perbincangan dengan Pejabat Daerah bagi menghimpunkan semua agensi berkaitan termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta wakil penduduk untuk mencari penyelesaian bersama,” katanya ketika dihubungi I Medikel TV hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berita I Medikel TV melaporkan penduduk di hampir 10 kampung di sekitar Batu Melintang dan Sungai Long, di sini mendesak pihak berkaitan termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil tindakan segera bagi menangani ancaman gajah liar yang semakin membimbangkan dan mengancam keselamatan mereka.

Abdul Hadi berkata, hasil perbincangan itu turut menyaksikan penubuhan saluran komunikasi dan tindakan pantas membabitkan penduduk serta agensi berkaitan bagi memudahkan maklumat mengenai pergerakan gajah disalurkan dengan segera.

Beliau berkata, antara cadangan yang sedang diusahakan ialah mewujudkan kawasan khas makanan atau food bank gajah berdasarkan hasil kajian Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi mengurangkan pergerakan haiwan itu ke kawasan kampung dan kebun penduduk.

“Cadangan ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk jabatan teknikal dan agensi kerajaan kerana melibatkan pemilihan kawasan sesuai serta pengurusan habitat jangka panjang.

“Selain itu, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai konflik manusia dan hidupan liar turut dilaksanakan menerusi program bersama Perhilitan yang diadakan di Kuala Balah bagi memberi pemahaman kepada penduduk mengenai langkah keselamatan dan pengurusan risiko,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu ancaman gajah liar dalam Perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Rabu lalu dengan meminta Kerajaan Persekutuan, Perhilitan dan agensi berkaitan memberi perhatian serius terhadap kerosakan tanaman, kemerosotan nilai tanah pertanian serta kesukaran yang dialami penduduk.

Menjawab isu yang dibangkitkan, katanya, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Datuk Hilmi Abdullah berkata renjer komuniti akan digerakkan bagi menangani konflik manusia dan gajah liar, manakala hasil kajian UMK bersama Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) dan Perhilitan Kelantan telah mengenal pasti beberapa lokasi termasuk Batu Melintang, Lata Janggut, Sungai Rual dan Kampung Gemang sebagai koridor gajah.

Katanya, Hilmi turut memaklumkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) turut meluluskan penubuhan koridor dan bank makanan gajah termasuk penanaman rumput napier, selain UMK menjalankan kajian kebolehlaksanaan penubuhan santuari gajah di Jeli bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar.

Abdul Hadi berharap tindakan bersepadu termasuk pembinaan dan penyelenggaraan pagar elektrik, pemindahan gajah bermasalah serta pelaksanaan projek food bank gajah dapat dipercepatkan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin dan kegiatan ekonomi masyarakat setempat dapat diteruskan tanpa gangguan.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here