Oleh: Afrizam Arif @ I Medikel TV
PASIR PUTEH: Penggunaan teknologi i-SunDryer berpotensi menjadi penyelesaian kepada masalah yang sering dihadapi nelayan terutama ketika musim tengkujuh dan banjir apabila proses pengeringan ikan terjejas akibat cuaca tidak menentu.
Ketua Projek Pemerkasaan Nelayan Berpendapatan Rendah (B40), Dr Johari Abdullah berkata, teknologi itu diperkenalkan kepada komuniti nelayan Tok Bali, di sini, bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti penghasilan ikan kering serta produk tradisional seperti ikan bekok.

Beliau berkata, antara kelebihan utama teknologi tersebut ialah keupayaannya mempercepatkan tempoh pengeringan ikan berbanding kaedah konvensional yang bergantung sepenuhnya kepada cahaya matahari.
“Bagi ikan bekok, tempoh pengeringan dapat dikurangkan daripada empat jam kepada hanya satu jam, manakala ikan kering yang kebiasaannya memerlukan sehingga dua hari untuk dikeringkan boleh disiapkan dalam tempoh sekitar empat jam bergantung kepada saiz ikan dan keadaan cuaca.
“Teknologi ini amat berguna ketika musim hujan dan banjir kerana nelayan tidak lagi perlu mengangkat atau menyelamatkan ikan yang sedang dijemur apabila hujan secara tiba-tiba,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Pengenalan Produk Nelayan Tok Bali dan Teknologi i-SunDryer di Dewan Komuniti Perkampungan Semula Nelayan Tok Bali (PSNTB), di sini, baru-baru ini.
Tambahnya, i-SunDryer dilengkapi sistem pemanasan menggunakan gas yang membolehkan proses pengeringan diteruskan walaupun pada waktu malam atau ketika cuaca mendung dan hujan berpanjangan.

“Situasi ini sangat penting terutama ketika musim tengkujuh apabila ramai pengusaha ikan kering berdepan risiko kerugian akibat produk tidak sempat kering atau rosak apabila terdedah kepada hujan,” katanya.
“Penggunaan sistem tertutup menjadikan produk yang dihasilkan lebih bersih kerana terlindung daripada lalat, serangga dan pencemaran luar yang boleh menjejaskan kualiti serta keselamatan makanan,” katanya.
Johari berkata, teknologi berkenaan bukan sahaja membantu meningkatkan hasil pengeluaran, malah mampu menambah nilai produk nelayan melalui penghasilan ikan kering yang lebih berkualiti dan mempunyai daya saing lebih tinggi di pasaran.
Katanya, projek Pemerkasaan Nelayan B40 itu disokong oleh Yayasan Hasanah dan diselaraskan oleh Unit Peneraju Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu (PENERAJU), Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) serta Universiti Sains Malaysia (USM).
IMedikel TV






