Home Buletin Semasa RM19.56 JUTA NILAI RAMPASAN BARANG SELUDUP DI KELANTAN

RM19.56 JUTA NILAI RAMPASAN BARANG SELUDUP DI KELANTAN

KOTA BHARU: Maritim Malaysia merekodkan nilai keseluruhan rampasan berkaitan aktiviti penyeludupan termasuklah barang terlarang seperti dadah di perairan Kelantan berjumlah RM19.56 juta bagi tempoh 2023 hingga Oktober 2026.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak tiga kes rampasan direkodkan sepanjang tahun ini dengan nilai anggaran RM881,000.

Menurut beliau, laluan perairan yang digunakan untuk membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) turut berpotensi dieksploitasi sindiket bagi kegiatan penyeludupan barangan, dadah dan barang terlarang.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan menggunakan laluan yang sama untuk membawa masuk PATI serta barangan yang menyalahi undang-undang negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Operasi REDBACK 23/2026 yang dilaksanakan di perairan Kelantan meliputi kawasan seluas 1,716 kilometer persegi, bermula dari Kuala Semerak, Tok Bali hingga Kuala Genting.

Hasil operasi itu, sebanyak 121 pemeriksaan dilaksanakan, selain membawa kepada penahanan seorang warga Bangladesh serta dua wanita warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam aktiviti berkaitan.

Beliau berkata, walaupun jumlah tangkapan sepanjang operasi berkenaan tidak begitu tinggi, pelaksanaannya penting bagi memberi mesej jelas kepada sindiket penyeludupan bahawa Maritim Malaysia sentiasa menjalankan rondaan dan pengawasan di kawasan yang dikenal pasti.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi mengekang kegiatan penyeludupan PATI, dadah dan barangan terlarang yang menggunakan perairan Kelantan sebagai laluan.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Majlis Penutup OP REDBACK 23/2026.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here