Home Buletin Semasa KERAJAAN PAHANG SENTIASA BERUSAHA MENJAGA KEBAJIKAN ORANG ASLI 

KERAJAAN PAHANG SENTIASA BERUSAHA MENJAGA KEBAJIKAN ORANG ASLI 

KUALA LIPIS: Kerajaan Pahang terus memperkukuh usaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli apabila 470 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima bantuan bakul makanan, manakala 10 keluarga lagi mendapat manfaat menerusi penyerahan Rumah Rakyat Pahang Kuota Orang Asli Fasa Tujuh 2026.

Penyerahan bantuan itu dilaksanakan menerusi Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, dekat sini, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata daripada keseluruhan penerima bantuan bakul makanan, seramai 246 KIR dari Kampung Kuala Koyan, 125 dari Kampung Dusun Pak Senam dan 99 dari Kampung Sungai Padi.

Menurutnya, inisiatif berkenaan merupakan usaha berterusan kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban kos sara hidup, selain memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli terus terbela tanpa mengira lokasi kediaman mereka.

“Pada program kali ini, kerajaan turut menyerahkan sebanyak 10 unit Rumah Rakyat Pahang Kuota Orang Asli Fasa Tujuh 2026 kepada penerima, membabitkan tiga penerima di Kampung Kuala Koyan, empat di Kampung Dusun Pak Senam dan tiga di Kampung Sungai Padi.

“Setiap tahun kerajaan menyediakan bantuan bakul makanan dan rumah sebagai bukti keprihatinan kerajaan yang tidak pernah meminggirkan masyarakat Orang Asli walau di mana mereka berada,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan program berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat Orang Asli melalui penyediaan bantuan kebajikan serta kemudahan kediaman lebih selesa, sekali gus meningkatkan kualiti hidup komuniti itu.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berperanan sebagai penghubung antara kerajaan negeri dengan masyarakat Orang Asli bagi memastikan segala maklumat berkaitan kemudahan, kebajikan, keperluan asas, pendidikan dan keperluan semasa disalurkan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.

Beliau turut memberi jaminan bahawa masyarakat Orang Asli akan terus menerima bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan negeri menerusi pelbagai inisiatif kebajikan.

“Saya memberi jaminan dan yakin masyarakat Orang Asli akan terus menerima bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan Pahang. Mereka tidak perlu bimbang dengan usaha berterusan yang dilaksanakan pihak kerajaan.

“Walaupun masyarakat Orang Asli tinggal jauh di kawasan pedalaman, kebajikan mereka tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan Pahang,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here