Oleh: Wartawan@IMedikelTV
BACHOK, KELANTAN : Sultan Kelantan merangkap Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Sultan Muhammad V mahu graduan universiti itu tidak hanya bergantung kepada peluang pekerjaan sedia ada, sebaliknya tampil sebagai pencipta pekerjaan dengan memanfaatkan kemajuan teknologi dan ekonomi digital.
Tuanku canselor universiti malaysia kelantan dan membaca teks titah ucapan kebawah duli yang maha mulia tuanku canselor, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital yang sedang mengubah landskap pekerjaan dunia perlu dilihat sebagai peluang kepada graduan untuk meneroka bidang keusahawanan serta membangunkan model perniagaan baharu.
Menurut baginda, nilai keusahawanan yang diterapkan sepanjang pengajian di UMK seharusnya menjadi pemangkin kepada graduan untuk lebih kreatif, inovatif dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi global.

“Nilai keusahawanan yang disemai di UMK seharusnya mendidik para graduan agar tidak sekadar menjadi pencari kerja (job seekers), sebaliknya menjadi arkitek peluang dan pembina pekerjaan (job creators).
“Kuasailah ekonomi digital dan teknologi pintar untuk membina model perniagaan baharu, merintis e-dagang rentas sempadan dan memodenkan rantaian pasaran tempatan,” titah baginda.
Titah Sultan Muhammad V itu dibacakan oleh wakil baginda pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-16 UMK di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok, di sini, hari ini.
Baginda turut menegaskan bahawa UMK perlu berada di barisan hadapan dalam memacu penggunaan teknologi AI dengan memastikan setiap pembangunan dan aplikasinya berpandukan nilai etika, integriti serta amanah.
Dalam pada itu, baginda menzahirkan rasa syukur atas pencapaian UMK yang kini genap dua dekad penubuhannya sejak mula beroperasi pada 1 September 2006.

Sepanjang tempoh berkenaan, universiti itu berjaya mencatat pelbagai pencapaian berimpak tinggi pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi berteraskan keusahawanan.
Sehubungan itu, baginda berharap UMK terus memperkukuh ekosistem keusahawanan holistik, sistem akademik mampan serta penyelidikan dan inovasi yang memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
Harapan berkenaan selaras dengan Pelan Strategik UMK 2026–2030 yang dilancarkan pada Januari lalu, selain menjadi asas kepada pembangunan universiti bagi dekad seterusnya sehingga 2036.
Sementara itu, Sultan Muhammad V turut menggesa kerajaan negeri Kelantan memberikan keutamaan kepada UMK untuk menerajui penyediaan Pelan Pembangunan Negeri Kelantan 2025–2055.
Baginda bertitah, kerjasama melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) penting bagi membolehkan kepakaran akademik dan penyelidikan UMK dimanfaatkan dalam merangka pembangunan negeri secara lebih terancang, inklusif dan mampan.
“Beta mengharapkan agar kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) memberikan keutamaan kepada UMK untuk menerajui usaha penyediaan Pelan Pembangunan Negeri Kelantan 2025–2055, dengan menggembleng kepakaran pelbagai pihak ke arah pembangunan negeri yang terancang, inklusif dan mampan,” titah baginda.
Baginda turut menggesa agensi kerajaan Persekutuan dan negeri serta pemain industri memperkukuh kerjasama strategik dengan UMK bagi memastikan kepakaran universiti dapat dimanfaatkan secara menyeluruh.
Pada masa sama, baginda mengingatkan graduan bahawa kejayaan akademik bukan sekadar diukur melalui pencapaian ijazah, tetapi sejauh mana ilmu dan kemahiran yang diperoleh mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“Kemuncak martabat sesebuah menara gading bukan diukur pada tingginya tembok akademi, tetapi pada sejauh mana ilmunya menyentuh dan membela nasib masyarakat di akar umbi,” titah baginda.
Justeru, baginda menyeru graduan UMK supaya turun padang mendekati masyarakat termasuk komuniti luar bandar, sektor pertanian dan perusahaan kecil bagi membantu meningkatkan taraf hidup melalui pemindahan ilmu serta inovasi.
Baginda turut mengingatkan graduan agar sentiasa memelihara integriti, nilai murni dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin, usahawan mahupun pekerja.
Dalam titah sama, baginda merakamkan ucapan tahniah kepada semua graduan, ibu bapa dan warga UMK atas kejayaan yang dicapai serta berharap universiti itu terus unggul sebagai institusi keusahawanan tersohor di persada antarabangsa.
IMedikel TV






