Home Buletin Semasa USIA 81 TAHUN GENGGAM PhD, BUKTIKAN MENUNTUT ILMU TIADA BATASAN USIA

USIA 81 TAHUN GENGGAM PhD, BUKTIKAN MENUNTUT ILMU TIADA BATASAN USIA

BACHOK, KELANTAN : Faktor kesihatan, peningkatan usia dan cabaran teknologi digital tidak pernah mematahkan semangat seorang warga emas berusia 81 tahun untuk merealisasikan impian melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Selepas empat tahun menempuh pengajian, beliau akhirnya berjaya memperoleh kelulusan berkenaan, sekali gus membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus menimba ilmu.

Beliau berkata, sepanjang tempoh pengajian, cabaran terbesar yang terpaksa dihadapi ialah masalah kesihatan termasuk menjalani dua kali pembedahan pada kedua-dua belah mata, selain menghidap penyakit prostat, kerap membuang air kecil, tekanan darah tinggi dan masalah saraf.

Katanya, faktor usia turut memberi kesan terhadap keupayaan mengingati sesuatu perkara serta menganalisis maklumat, selain perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi digital.

“Selama saya belajar di sini empat tahun, cabaran paling besar ialah kesihatan. Kesihatan saya banyak terganggu disebabkan mata yang menjalani dua kali pembedahan, selain masalah prostat, kencing acap, darah tinggi dan saraf.

“Cabaran kedua ialah faktor usia yang menyebabkan ingatan semakin berkurangan dan menyukarkan saya menganalisis sesuatu perkara. Ketiga, masalah teknologi digital yang menjadi cabaran baharu untuk saya hadapi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, tekad yang dipupuk sejak sekian lama untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat universiti menjadi motivasi utama untuk mengharungi segala cabaran berkenaan.

Menurutnya, hasrat menyambung pengajian ke peringkat tertinggi itu sudah lama tersemat, namun terpaksa ditangguhkan berikutan kekangan ekonomi dan tanggungjawab keluarga yang mendorongnya bekerja terlebih dahulu.

Selepas bersara pada tahun 2000, beliau masih meneruskan kerjaya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat selama empat tahun, diikuti perkhidmatan selama dua tahun dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Beliau turut aktif dalam bidang penulisan dan penerbitan buku selepas menamatkan perkhidmatan berkenaan.

Mengulas kejayaan memperoleh PhD pada usia 81 tahun, beliau mengakui berasa bangga, namun lebih bermakna apabila pencapaian itu mampu menjadi sumber inspirasi kepada sembilan anak dan 32 cucunya yang masih menuntut ilmu.

“Yang utama saya rasa bangga kerana dapat sedikit sebanyak memberikan rangsangan dan motivasi kepada anak-anak serta cucu-cucu saya yang sedang belajar.

“Ini juga menjadi motivasi kepada orang muda di luar sana. Belajar bukan hanya untuk orang muda, sebaliknya boleh dilakukan pada bila-bila masa,” katanya.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan menyambung pengajian sekali lagi ke peringkat PhD dalam bidang berbeza sekiranya dikurniakan kesihatan yang baik.

Beliau berminat meneroka hubungan antara tasawuf dengan keusahawanan, selain meneruskan penyelidikan dan menghasilkan lebih banyak karya ilmiah.

Dalam bidang penulisan, beliau sudah menghasilkan 39 buku dalam edisi Rumi dan 39 edisi Jawi yang merangkumi bidang agama termasuk akidah, syariah dan tasawuf.

Beliau berkata, kejayaan memperoleh PhD bukan noktah kepada perjalanan menuntut ilmu, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus berkarya, melakukan penyelidikan dan berkongsi pengetahuan dengan masyarakat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here