Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Lebih 3,000 pengunjung memeriahkan Fiesta Perhutanan dan Komuniti yang berlangsung selama tiga hari di ruang legar Kuantan City Mall, di sini, sekali gus membuka peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat tepat mengenai peranan dan tanggungjawab Jabatan Perhutanan.
Program itu mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan orang awam yang ingin mengetahui dengan lebih dekat aspek pengurusan, pemeliharaan serta pembangunan sumber hutan.
Sebanyak 14 reruai pameran disediakan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri yang mengetengahkan kelebihan serta projek terbaik masing-masing.

Selain itu, 13 gerai pameran dan jualan turut menampilkan pelbagai produk berasaskan hutan seperti madu kelulut, kraftangan dan ekopelancongan, selain hebahan mengenai inisiatif pemeliharaan biodiversiti hutan oleh persatuan komuniti serta rakan strategik.
Majlis penutupan program semalam disempurnakan Pengarah Bahagian Ladang Hutan dan Perlindungan Hutan JPSM, Datuk Samsu Anuar Nawi.
Hadir sama Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Harry Yong.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan meneka jumlah biji benih Meranti Tembaga serta cabutan nombor bertuah.
Samsu Anuar berkata, beliau berpuas hati dengan kejayaan penganjuran program berkenaan, khususnya berdasarkan sambutan menggalakkan pengunjung yang hadir untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan perhutanan.

Menurutnya, program itu memberi peluang kepada pengunjung, terutama generasi muda, mendapatkan maklumat tepat merangkumi aspek perundangan, penghijauan hutan, biji benih pokok balak, penguatkuasaan serta penggunaan teknologi moden dalam operasi JPSM dan Jabatan Perhutanan Negeri.
“Saya yakin menerusi program ini pengunjung terutama generasi muda berpeluang mendapat maklumat tepat berkaitan perhutanan termasuk undang-undang, penghijauan hutan, biji benih pokok balak, penguatkuasaan dan penggunaan teknologi moden di peringkat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri,” katanya.
Beliau berkata, antara tarikan yang diketengahkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang ialah demonstrasi kemahiran kakitangan profesional memanjat pokok menggunakan tali bagi mendapatkan biji benih pokok balak, selain melakukan kerja menebang serta memotong dahan pokok berbahaya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji komitmen Jabatan Perhutanan Negeri yang memberikan kerjasama menggalakkan, termasuk membuat persiapan lebih awal serta membawa pelbagai bahan pameran untuk dipertontonkan kepada pengunjung.
Malah, terdapat jabatan yang sanggup membawa ikan dari lokasi jauh untuk dipamerkan, namun usaha itu tidak dapat diteruskan apabila ikan berkenaan mati sebelum sempat dipamerkan.
Samsu Anuar berkata, Fiesta Perhutanan dan Komuniti akan dijadikan acara tahunan dengan lokasi penganjuran berbeza, sekali gus memberi peluang kepada setiap negeri menjadi tuan rumah menerusi kerjasama sebagai penganjur bersama.
IMedikel TV






